Presiden MUDA yang merupakan penyandang DUN Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz menerangkan masalah terbesar rakyat Johor kepada calon MUDA N.41 Puteri Wangsa, Rashifa Aljunied (kiri) selepas sidang media di Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 28 JUN 2026.

JOHOR BAHRU – Calon Parti MUDA bagi kerusi N.41 Puteri Wangsa, Rashifa Aljunied mahu menjadi wakil rakyat yang sentiasa ‘hadir’ bersama masyarakat dan membawa suara mereka ke Dewan Undangan Negeri (DUN) bukan sekadar memegang jawatan selepas dipilih.

Beliau berkata, komitmen itu diterjemahkan menerusi tekad ‘Hadir dan Suara’ yang menjadi tawaran utamanya kepada lebih 270,000 penduduk Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Sebelum saya melangkah ke pusat penamaan calon semalam, ibu saya berpesan supaya saya menjadi wakil rakyat yang mempunyai niat baik untuk kawasan.

“Bagi saya, wakil rakyat yang mempunyai niat baik ialah wakil rakyat yang sentiasa hadir untuk rakyat. Apabila mereka memerlukan seseorang untuk membawa suara dan kepayahan mereka, saya akan hadir dan bersuara,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Calon MUDA N.41 Puteri Wangsa, Rashifa Aljunied bercakap pada sidang media mengenai masalah terbesar rakyat Johor di Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 28 JUN 2026.

Menurut Rashifa, penduduk Puteri Wangsa sudah penat dengan pertelingkahan politik dan perebutan kuasa sebaliknya mahukan wakil rakyat yang benar-benar bekerja menyelesaikan masalah di lapangan.

“Penduduk Puteri Wangsa tidak mahu ambil tahu dengan hiruk-pikuk dan kacau-bilau perlawanan antara parti politik seperti yang berlaku sekarang.

“Mereka tidak mahukan wakil rakyat yang malas atau hanya mementingkan kedudukan dan jawatan. Mereka mahukan wakil rakyat yang sentiasa ada bersama mereka,” ujarnya.

Rashifa berkata, pengalaman hampir empat tahun berkhidmat di Pusat Khidmat Puteri Wangsa bersama penyandang kerusi itu, Amira Aisya Abdul Aziz membuka matanya terhadap pelbagai cabaran sebenar yang dihadapi masyarakat.

Beliau berkata, antara pengalaman yang paling memberi kesan ialah apabila menemui dua kanak-kanak berusia lapan dan 10 tahun di PPR Pelangi Indah yang tidak hadir ke sekolah kerana ibu bapa mereka tidak mampu membayar tambang van sekolah.

“Ketika kami datang menghantar bantuan, saya melihat sendiri bagaimana kemiskinan benar-benar berlaku di Puteri Wangsa. Dua kanak-kanak itu sepatutnya berada di sekolah tetapi mereka berada di rumah kerana keluarga tidak mampu menanggung kos pengangkutan,” katanya.

Beliau turut mengimbau kunjungannya ke rumah individu yang dikenali Puan Cempaka yang menjaga anaknya yang terlantar koma di rumah kerana kekurangan katil hospital selain berdepan kos tinggi bagi mendapatkan perkhidmatan ambulans untuk rawatan susulan.

Selain itu, Rashifa berkata, beliau turut bertemu Encik Rahim yang kehilangan anak akibat kemalangan jalan raya yang didakwa berpunca daripada keadaan jalan yang tidak diselenggara dengan baik.

Katanya, pengalaman turun padang ketika banjir besar pada Mac 2025 yang menjejaskan lebih 3,000 penduduk Puteri Wangsa turut menguatkan azamnya untuk terus memperjuangkan nasib rakyat.

“Saya masih ingat seorang peniaga sate yang mengalami kerugian kira-kira RM5,000 hanya seminggu sebelum Aidilfitri apabila bekalan jualannya musnah akibat banjir.

“Ini semua adalah kisah sebenar rakyat Puteri Wangsa. Sebab itu saya memilih tekad ‘Hadir dan Suara’. Penduduk di sini memerlukan wakil rakyat yang benar-benar turun padang dan membawa suara mereka ke Dewan Undangan Negeri.

“Jika diberikan mandat, saya akan hadir untuk mereka dan menjadi suara mereka. Itulah janji dan tekad saya kepada seluruh penduduk Puteri Wangsa,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast