Draf laporan polis yang dibuat oleh waris. Sumber dari Facebook Mr Wan Cai Official.

KUALA LUMPUR – Waris yang terkait dalam kes penangguhan pengurusan jenazah yang tular baru-baru ini telah membuat laporan polis berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semalam.

Laporan polis itu dibuat oleh pengadu kerana mendakwa kenyataan media oleh Pengarah JAIS itu bersifat fitnah dan berniat jahat.

Pengadu mendakwa dia tidak pernah berurusan dengan pihak Masjid Nurul Hidayah kerana semasa kejadian dia bersama jenazah cuccunya.

Tambah pengadu, laporan polis itu dibuat bagi menjelaskan keadaan sebenar dirinya dan keluarga ketika menguruskan jenazah.

Dalam laporan polis itu, pengadu turut menafikan segala dakwaan menerusi audio, penjelasan siak kepada sebuah media dan kenyataan JAIS.

Mr Wan Cai Official yang merupakan Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) menerusi Facebook berkata, waris kepada simati akan membuat sidang media petang ini bagi menjelaskan kronologi kejadian.

Semalam, JAIS menafikan kesilapan pihak masjid menjadi punca satu jenazah lambat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Kelang seperti yang tular di media sosial.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad turut menafikan dakwaan tular bahawa pihak masjid meminta bayaran RM1,400 bagi membolehkan jenazah diuruskan.

Jelas beliau, punca sebenar insiden itu adalah akibat kekeliruan waris yang menyerahkan sepenuhnya urusan pengebumian kepada Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS) yang tidak mempunyai hubungan dengan pihak masjid.

“Semakan JAIS mendapati jenazah berkenaan adalah ahli kariah Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam dan meninggal dunia pada 25 Jun 2026 pada jam 6.22 pagi.

“Waris berhasrat untuk mengebumikan jenazah di tanah perkuburan di lokasi Tanah Perkuburan Islam, Ukay Perdana yang terletak di bawah seliaan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“Bapa kepada si mati hanya berjumpa dengan Pembantu Pengurus Masjid Nurul Hidayah pada jam 10.30 pagi untuk mendapatkan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam yang diperlukan bagi membolehkan jenazah dikebumikan di lokasi itu.

“Beliau juga bersetuju pihak masjid yang mengambil alih daripada BKS untuk meneruskan urusan pengebumian jenazah,” katanya dalam satu kenyataan, tersebut. – MalaysiaGazette

Kekeliruan waris dan borang palsu punca jenazah lewat kebumi, bukan silap masjid- JAIS

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast