Datuk Aiman Athirah Sabu.

KUALA LUMPUR – Sejumlah 32,800 unit kediaman siap dibina, melibatkan nilai keseluruhan sebanyak RM16.37 bilion masih belum terjual setakat suku pertama tahun ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, statistik itu berdasarkan laporan Pusat Maklumat Hartanah Negara (NAPIC) bagi suku pertama 2026.

Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, sebanyak 15,400 unit atau 46.9 peratus merupakan rumah berharga RM300,000 dan ke bawah.

“Ini menunjukkan sejumlah 53.1 peratus lagi adalah terdiri daripada rumah dalam kategori harga melebihi RM300,000.

“Secara keseluruhannya, ia membuktikan kediaman yang tidak terjual bukan hanya melibatkan rumah mampu milik, tetapi turut dipengaruhi oleh ketidakpadanan antara penawaran dan permintaan dalam pelbagai segmen pasaran perumahan,” katanya ketika menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Aiman Athirah berkata demikian menjawab soalan lisan Datuk Willie anak Mongin (PN-Puncak Borneo) yang ingin tahu jumlah rumah mampu milik yang masih belum terjual mengikut negeri dan kategori harga serta kadar sebenar pemilikan rumah dalam kalangan golongan muda berumur bawah 35 tahun mengikut negeri dan kawasan Parlimen.

Mengulas lanjut, Aiman Athirah berkata, kementerian menyedari cabaran pemilikan rumah khususnya dalam kalangan belia dan pembeli rumah pertama memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang memperkukuh pembangunan sistem data perumahan bersepadu di peringkat nasional bagi menyokong perancangan serta penggubalan dasar yang lebih tepat berasaskan data.

Beliau berkata, inisiatif itu turut menjadi antara fokus dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), termasuk bagi meningkatkan akses golongan muda kepada rumah mampu milik.

“Kerajaan juga sedang memuktamadkan Dasar Perumahan Negara yang akan memberi penekanan kepada penyediaan perumahan yang lebih responsif terhadap keperluan rakyat, memperkukuh ekosistem pembiayaan perumahan, memantapkan data perumahan bersepadu serta mengurangkan ketidakpadanan antara penawaran dan permintaan dalam pasaran,” katanya.

Dalam pada itu, Aiman Athirah memaklumkan kementerian masih belum mempunyai data khusus kadar pemilikan rumah mengikut kumpulan umur, termasuk bagi golongan berusia 35 tahun dan ke bawah kerana statistik yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) disusun mengikut kumpulan pendapatan dan lokaliti, bukannya umur atau kawasan Parlimen.

Bagaimanapun, berdasarkan data sedia ada bagi tahun 2024, kadar pemilikan rumah dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah yang merangkumi kumpulan desel pendapatan D1 hingga D4 direkodkan pada kadar 76.3 peratus. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast