Calon Pakatan Harapan N.16 Sungai Balang, Soraya Badaruddin sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ketika di Pasar Awam Parit Jawa, Muar, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 28 JUN 2026.

MUAR – Calon Pakatan Harapan (PH), Ayna Soraya Badaruddin mahu membangunkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang, sebagai hab ekonomi berasaskan sektor maritim, pelancongan dan pertanian sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Soraya, 31, yang digelar ‘akak kapal’ kerana pengalamannya dalam industri perkapalan serta minyak dan gas berkata, Sungai Balang mempunyai potensi besar dalam tiga sektor utama.

Ia adalah iaitu pelancongan, perikanan serta pertanian yang mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan khususnya kepada golongan belia.

Menurutnya, pembangunan sektor-sektor berkenaan mampu mengurangkan kebergantungan anak muda untuk berhijrah mencari pekerjaan di luar kawasan.

“Apa yang saya nampak kawasan ini mempunyai potensi dalam tiga sektor ekonomi utama itu yang akan memberi peluang pekerjaan lebih baik khususnya kepada anak muda di tempat sendiri.

“Kalau kita tengok di sekitar Muar, memang banyak peluang pekerjaan dan saya yakin potensi di Sungai Balang juga boleh dibangunkan dengan lebih baik,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Ketua Srikandi PKR itu melakukan kempen di Pasar Awam Parit Jawa yang turut dihadiri Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil semalam.

Menteri Komunikasi merangkap Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan, Datuk Fahmi Fadzi bercakap kepada media selepas menyaksikan perlawanan Piala Dunia Fifa bersama Calon Pakatan Harapan N.16 Sungai Balang, Soraya Badaruddin sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ketika di Pasar Awam Parit Jawa, Muar, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 28 JUN 2026.

Mengulas lanjut Ayna Soraya berkata, pembangunan berkenaan akan lebih mudah direalisasikan sekiranya wujud keselarasan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Saya lihat ekonomi di Sungai Balang dapat dibangunkan dengan lebih baik sekiranya ada keselarasan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Tambahnya, sektor maritim dan perikanan mempunyai potensi besar untuk diperkasakan, terutama dalam melahirkan lebih ramai usahawan dan nelayan muda.

Katanya, hasil tinjauan di kawasan Pantai Leka dan Parit Jawa mendapati masih ramai golongan muda berminat menceburi industri perikanan, namun memerlukan pembangunan serta sokongan yang lebih menyeluruh.

Pada PRN Johor 11 Julai ini, Soraya berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN), Selamat Takim, yang juga penyandang kerusi berkenaan dan Muhammad Amin Sailan mewakili Perikatan Nasional (PN). – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast