Calon Pakatan Harapan, Mohd Khuzzam Abu Bakar menyantuni penduduk setempat sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ketika di Warung Dayak, Batu Pahat, Johor. Foto AIZAT ZAINAL, 29 JUN 2026

BATU PAHAT – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah memberi jaminan akan menjadikan penyelesaian isu banjir kilat sebagai keutamaan sekiranya diberi mandat oleh pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Mohd Khuzzan Abu Bakar menegaskan, antara langkah utama yang akan ditekankan ialah mendesak pembinaan pintu air utama di Parit Dobi bagi mengatasi masalah banjir yang sering melanda kawasan Taman Pantai dan Jalan Masjid akibat fenomena air pasang besar serta hujan lebat.

Beliau berkata, pembinaan pintu air itu penting kerana Parit Dobi merupakan laluan utama aliran air yang melibatkan tiga kawasan DUN iaitu Senggarang, Penggaram dan Semerah.

“Perkara ini pernah saya bangkitkan sebelum ini dan akan terus diperjuangkan bagi memastikan masalah banjir kilat yang menjejaskan penduduk dapat diselesaikan,” katanya ketika ditemui pada hari ketiga kempen selepas penamaan calon di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau yang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah berkata, penerimaan masyarakat sepanjang tiga hari berkempen amat memberangsangkan dengan ramai pengundi memahami pelbagai inisiatif yang diperkenalkan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, antara perkara yang sering diluahkan pengundi ialah pelaksanaan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta isu berkaitan subsidi diesel dan petrol.

“Setakat ini maklum balas masyarakat sangat baik terhadap inisiatif kerajaan Persekutuan.

“Beberapa perkara yang dibangkitkan melibatkan bidang kuasa kerajaan negeri dan jika diberi mandat, saya akan membawa isu tersebut bagi mendapatkan perhatian serta peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan,” ujarnya.

Mengulas mengenai situasi politik semasa yang menyaksikan PH dan Barisan Nasional (BN) bertanding secara berasingan di peringkat negeri walaupun membentuk Kerajaan Perpaduan di Putrajaya, beliau berkata, pengundi semakin memahami perbezaan peranan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, keadaan itu memerlukan penjelasan berterusan kepada rakyat kerana landskap politik negara kini memasuki fasa baharu yang lebih matang.

Mengenai momentum kempennya, beliau menyifatkan gerak kerja kini sudah berada pada tahap maksimum dengan pengalaman sebagai bekas ADUN Semerah membolehkannya memahami keperluan sebenar penduduk.

Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Selain usaha menangani banjir, beliau berkata, fokus lain termasuk meningkatkan penyelenggaraan sistem perparitan di kawasan luar bandar bagi mengelakkan air bertakung yang boleh menjejaskan hasil pertanian.

Beliau turut berhasrat meneruskan cadangan pembinaan mini kompleks sukan di Taman Seri Sulong yang pernah diusulkan sebelum ini, selain menarik pelaburan industri baharu bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan belia.

Pada masa sama, beliau berkata, usaha memperkasakan ekonomi peniaga kecil melalui peluang pembiayaan dan pengurusan perniagaan yang lebih baik turut menjadi antara agenda utama sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat Semerah.

Menurutnya lagi, DUN Semerah mempunyai lebih 47,300 pengundi dengan kira-kira 11,000 atau 24.34 peratus merupakan pengundi Cina yang kebanyakannya tertumpu di kawasan bandar. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast