Mohd. Ali Rahmatullah tidak menang tangan menyediakan cendol untuk pelanggan ketika musim pilihan raya kali ini.

SEGAMAT – Musim kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan sahaja memeriahkan pentas politik malah turut membawa rezeki berganda kepada peniaga kecil.

Gerai makanan menjadi lokasi persinggahan wajib penyokong, petugas kempen dan calon yang turun berjumpa pengundi.

Pengusaha gerai cendol dan rojak, Mohd. Ali Rahmatullah, 40, berkata, gerainya yang terletak berhampiran beberapa bilik gerakan parti politik kini sentiasa dipenuhi pelanggan dari pagi hingga lewat petang sehingga ada kalanya kehabisan tempat duduk.

Menurutnya, suasana di gerainya berubah menjadi lebih meriah sejak tempoh berkempen bermula apabila orang ramai mengambil peluang menikmati juadah sambil mengikuti perkembangan politik semasa.

“Setiap hari memang penuh dengan pelanggan. Penyokong daripada pelbagai parti datang singgah, ada yang berehat selepas berkempen dan ada yang berbincang mengenai perkembangan pilihan raya di sini.

“Kadang-kadang calon yang bertanding sendiri datang berkempen dan beramah mesra dengan pelanggan di gerai saya. Suasana memang meriah dan berbeza berbanding hari biasa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mohd. Ali berkata, kehadiran calon dan jentera parti menjadikan gerainya antara lokasi tumpuan sepanjang kempen berlangsung kerana ia memberi peluang kepada pemimpin bertemu pengundi dalam suasana santai dan tidak formal.

“Bila calon datang, pelanggan pun bertambah ramai. Ada yang mengambil peluang bergambar, bertanya khabar dan menyuarakan pandangan sambil menikmati cendol dan rojak.

“Bagi kami peniaga kecil, inilah yang orang kata durian runtuh musim pilihan raya,” katanya yang memilki tiga cawangan kedai cndol di negeri ini.

Menurutnya, jualan cendol dan rojak mee meningkat berkali ganda berbanding hari biasa sehingga stok makanan sering habis lebih awal.

Manakala purata kehadiran pelanggan boleh mencecah hampir 500 pelanggan hingga 1,000 orang ketika ‘demam’ pilihan raya ini.

Selain cendol, rojak mee anta menu terlajak laris di kedai Cendol Segar Amat, di sini

Katanya, pelanggan bukan sahaja terdiri daripada penyokong parti politik malah turut melibatkan petugas media, anggota keselamatan dan pengunjung dari luar kawasan yang datang mengikuti perkembangan kempen.

“Walaupun jalan sesak dan kawasan lebih sibuk daripada biasa, ia sebenarnya membawa rezeki kepada kami kerana ramai yang singgah untuk makan dan berehat.

“Saya harap suasana seperti ini berterusan sehingga hari pengundian nanti kerana ia bukan sahaja memeriahkan PRN, malah membantu meningkatkan pendapatan peniaga tempatan,” katanya.

Lokasi kedai Cendol Segar Amat terletak di kawasan strategik dalam DUN Buloh Kasap di sini di mana pertembungan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Zahari Sarip yang akan menentang calon Pakatan Harapan (PKR), Noraziah Mohd Razit.

PRN Johor dijadualkan berlangsung pada 11 Julai depan, manakala pengundian awal akan diadakan pada 7 Julai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast