KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia terus meningkat 7.8 peratus pada Mei 2026, selepas kenaikan 5.4 peratus pada bulan sebelumnya.

Semua sektor mencatatkan peningkatan pada bulan ini, dengan sektor perlombongan terus merekodkan peningkatan yang ketara sebanyak 52.6 peratus, selepas meningkat 53.4 peratus pada April 2026.

Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, peningkatan dua digit ini didorong oleh indeks pengeluaran petroleum mentah, yang melonjak sebanyak 74.5 peratus.

Sektor pertanian, perhutanan & perikanan meningkat sebanyak 8.9 peratus, berbanding 2.7 peratus pada bulan sebelumnya. disokong oleh indeks perikanan (15.2%) dan penanaman tanaman kekal (11.0%).

Pada masa yang sama, sektor pembuatan meningkat 3.5 peratus, berbanding peningkatan 1.1 peratus pada April 2026, terutamanya didorong oleh kenaikan dalam indeks pembuatan kok & produk petroleum bertapis (12.3%) dan pembuatan komputer, produk elektronik & optikal (5.7%).

Sementara itu, sektor bekalan air dan elektrik & gas masing-masing meningkat sebanyak 11.2 peratus dan 10.0 peratus.

Pada asas bulan ke bulan, IHPR Pengeluaran Tempatan meningkat 1.1 peratus, selepas mencatatkan peningkatan 3.2 peratus pada bulan sebelumnya.

Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 0.3 peratus (April 2026: 2.4%), disokong oleh kenaikan dalam indeks pengeluaran ternakan (3.0%).

Sektor pembuatan turut meningkat 1.8 peratus (April 2026: 1.4%), disumbangkan oleh peningkatan dalam indeks Pembuatan kok & produk petroleum bertapis (6.8%).

Sementara itu, indeks bekalan air dan elektrik & gas masing-masing meningkat sebanyak 0.6 peratus dan 0.1 peratus.

Sebaliknya, sektor perlombongan turun 2.8 peratus (April 2026: 19.8%), dipengaruhi oleh penurunan dalam kedua-dua indeks pengekstrakan gas asli (-5.9%) dan pengekstrakan petroleum mentah (-2.1%).

Indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya meningkat sebanyak 31.5 peratus (April 2026: 26.1%), terutamanya disebabkan oleh kenaikan dalam Bahan bukan makanan (38.1%).

Indeks bahan perantaraan, bekalan & komponen meningkat 3.0 peratus (April 2026: 0.8%), disokong oleh kenaikan dalam dalam bahan & komponen untuk pembinaan (5.3%) dan bekalan (5.7%).

Sementara itu, indeks barang siap meningkat 1.7 peratus (April 2026: 0.7%), didorong oleh peningkatan dalam kelengkapan modal (2.1%).

Pada asas bulan ke bulan, semua peringkat pemprosesan mencatatkan peningkatan pada Mei 2026 dengan indeks Bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya meningkat 1.6 peratus.

Indeks barang siap dan bahan perantaraan, bekalan & komponen pula masing-masing meningkat sebanyak 0.7 peratus dan 0.4 peratus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast