TEHERAN – Menteri Luar Iran memberi amaran bahawa sebarang cubaan kapal menggunakan laluan selain yang ditetapkan Tehran di Selat Hormuz akan “meningkatkan ketegangan” di Asia Barat.
Amaran itu dikeluarkan ketika tentera Amerika Syarikat (AS) dan Iran sekali lagi saling melancarkan serangan.
Tehran dilaporkan berang selepas Oman minggu ini mengumumkan laluan alternatif di Selat Hormuz yang mengikuti pesisir pantainya, yang menurut Muscat diselaraskan bersama Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO).
Iran terus menegaskan bahawa ia berhak mengawal laluan di selat strategik itu, yang menjadi laluan kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia dalam keadaan biasa. Sebelum perang tercetus, Iran tidak mempunyai kawalan sedemikian.
Selat Hormuz merangkumi perairan wilayah Oman dan Iran, namun di bawah undang-undang antarabangsa, kedua-dua negara secara umumnya tidak boleh menghalang pelayaran atau mengenakan bayaran kepada kapal yang melaluinya.
Bagaimanapun, sepanjang perang, Iran menghalang kebanyakan kapal daripada menggunakan laluan sempit itu, sekali gus memberikannya pengaruh ekonomi yang besar dan dilihat enggan melepaskan kelebihan tersebut.
Tindakan Iran menguatkuasakan kawalan itu mencetuskan beberapa ketegangan dengan Washington.
Terbaharu, Komando Pusat AS (CENTCOM) memaklumkan telah menyerang 10 sasaran ketenteraan Iran susulan “tindakan agresif berterusan Iran terhadap perkapalan komersial”.
Sebagai tindak balas, Iran mendakwa melancarkan serangan ke atas pangkalan tentera AS di Kuwait dan Bahrain, namun kedua-dua negara mengecam tindakan tersebut.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, sebarang percubaan memperkenalkan aturan baharu yang berbeza daripada mekanisme dilaksanakan Iran hanya akan merumitkan keadaan, melambatkan pembukaan semula Selat Hormuz dan meningkatkan ketegangan.
Teks memorandum persefahaman yang diterbitkan sebelum ini menyatakan Iran akan menentukan pentadbiran masa depan Selat Hormuz melalui dialog dengan Oman dan negara-negara Teluk lain selaras dengan undang-undang antarabangsa.
Sementara itu, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) memaklumkan pihaknya telah mengambil langkah mengawal trafik di selat berkenaan dan memberi amaran bahawa kapal yang melanggar arahan akan dikenakan tindakan lebih tegas berbanding sebelum ini.
Penasihat Pemimpin Tertinggi Iran, Mohammad Mokhber pula berkata, selagi Iran menguruskan Selat Hormuz, “impian hegemoni” Washington di rantau itu tidak akan menjadi kenyataan.
Penganalisis menjangkakan lebih banyak insiden akan berlaku di Selat Hormuz memandangkan Iran dilihat mendapat kelebihan daripada rundingan yang berpanjangan disertai tekanan terkawal di laluan strategik itu.
Walaupun serangan balas antara kedua-dua pihak setakat ini tidak banyak mengorbankan nyawa, Kementerian Dalam Negeri Qatar memaklumkan seorang rakyatnya maut akibat terkena serpihan letupan ketika berada di atas sebuah bot dalam operasi ketenteraan di kawasan berkenaan. – Agensi
















