Idris Brown pernah muncul dengan single Pening hasil ciptaan sepenuhnya oleh Tam Cobain dan Glowrush.

KUALA LUMPUR – Juara program realiti All Together Now Malaysia (ATNMY) musim pertama, Idris Brown, 30, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.

Berita pemergian Allahyarham Idris atau nama sebenarnya Idris Zulkifli dimaklumkan sahabatnya, Raziq Rashid menerusi hantaran di Instagram Story.

Raziq dalam perkongsiannya memohon orang ramai mendoakan kesejahteraan Allahyarham.

“Buat yang mengenali sahabat kami, Idris, beliau baru sahaja menghembuskan nafas terakhir sebentar tadi. Mohon doa semua agar arwah tenang di sana. Al-Fatihah,” katanya.

Bagaimanapun, butiran terperinci mengenai pemergian Allahyarham tidak didedahkan.

Sementara itu, syarikat rakaman Rocketfuel Entertainment turut mengesahkan khabar duka berkenaan menerusi hantaran di media sosial.

Menurut kenyataan itu, Allahyarham dilaporkan menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di HKL.

“Pihak @rocketfuelent baru sahaja menerima perkhabaran duka mengenai pemergian @idrisbrown25 yang meninggal dunia di Wad ICU, Hospital Kuala Lumpur.

“Salam takziah buat keluarga Allahyarham dan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Untuk rekod, Idris Brown dikenali sebagai antara penyanyi yang aktif meneroka ruang baharu dalam industri muzik tempatan.

Allahyarham pernah mencuri perhatian apabila mengambil pendekatan berbeza menerusi penerbitan single sulung berkonsepkan muzik klasikal.

Dia muncul dengan single Pening hasil ciptaan sepenuhnya oleh Tam Cobain dan Glowrush pada 2024 selepas single Dan Berakhirlah pada 2022.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast