BANGI – Kementerian Pengangkutan (MOT) menyasarkan penggunaan sistem telematik sebagai salah satu syarat wajib pelesenan kenderaan perdagangan bermula 2028 bagi memperkukuh keselamatan jalan raya dan mengurangkan risiko kemalangan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pelaksanaan itu bagaimanapun akan dibuat secara berfasa bagi memastikan industri bersedia serta tidak terbeban secara mengejut.
Teknologi telematik menggabungkan sistem GPS, sensor kenderaan dan komunikasi data bagi membolehkan pemantauan operasi kenderaan secara masa nyata termasuk aspek kelajuan, brek mengejut, pecutan agresif, tempoh pemanduan dan corak pergerakan.
Menurut beliau, fasa pertama bagi tempoh 2026 hingga 2027 memberi tumpuan kepada penggunaan sistem telematik secara sukarela serta advokasi kepada operator kenderaan perdagangan.
“Fasa kedua pada tahun 2027 pula melibatkan pembangunan Sistem Pangkalan Data Pemandu Kenderaan Perdagangan dan integrasi data telematik secara berpusat bagi menyokong pembangunan driver scorecard yang lebih berkesan.

“Fasa ketiga yang dicadangkan bermula pada 2028 ialah mempertimbangkan penggunaan sistem telematik sebagai salah satu syarat wajib pelesenan bagi kenderaan perdagangan selepas tahap kesiapsiagaan industri dan sistem kerajaan berada pada tahap memuaskan,” katanya.
Anthony berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif Telematik bagi Kenderaan Perdagangan di BSmart System Solution Sdn. Bhd di sini hari ini.
Katanya, pendekatan itu membolehkan risiko dikenal pasti lebih awal sebelum berlaku kemalangan sekali gus mengubah pendekatan kerajaan daripada bertindak selepas insiden kepada usaha pencegahan berasaskan data dan teknologi.
Menurut beliau, teknologi telematik bukan sesuatu yang baharu kerana ia telah digunakan oleh sebahagian pemain industri di Malaysia khususnya dalam sektor minyak dan gas (O&G) dan terbukti membantu meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kemalangan membabitkan kenderaan perdagangan.

Beliau berkata, kerajaan turut menggalakkan operator kenderaan perdagangan melanggan perkhidmatan telematik daripada lima syarikat yang dikenal pasti memenuhi syarat minimum ditetapkan MOT hasil pelaksanaan projek Proof of Concept (POC).
Lima syarikat berkenaan ialah BSmart System Solution Sdn. Bhd., Navipulse Sdn. Bhd., MyLorry Technology Solutions Sdn. Bhd., Theta Edge Berhad dan ANSA Digital Sdn. Bhd.
Menurutnya, pengiktirafan itu bukan bersifat eksklusif kerana syarikat lain masih boleh dipertimbangkan selepas memenuhi kriteria teknikal yang ditetapkan kementerian.
Anthony turut menyeru operator supaya tidak melihat penggunaan sistem telematik sebagai kos tambahan semata-mata, sebaliknya sebagai pelaburan keselamatan yang mampu melindungi pemandu, pengguna jalan raya serta meningkatkan profesionalisme industri.
Katanya, matlamat jangka panjang kerajaan adalah memastikan semua kenderaan perdagangan di Malaysia dilengkapi sistem telematik bagi membolehkan pemantauan keselamatan operasi dilaksanakan secara lebih menyeluruh, berterusan dan berasaskan data. – MalaysiaGazette
















