Sheikh Umar Bagharib Ali.

JOHOR BAHRU – Perdebatan secara terbuka tidak boleh dianggap sebagai perbuatan yang tidak beradab sebaliknya merupakan amalan yang sihat dalam sebuah negara demokratik.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, pandangan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi supaya masyarakat Johor beradab adalah sesuatu yang baik namun menegaskan adab perlu dibuktikan melalui tindakan bukan sekadar kenyataan.

Naib Pengerusi DAP Johor itu berkata, begitu juga dengan debat yang dilakukan secara beradab adalah wajar untuk rakyat menilai hujah masing-masing.

Perbezaan pandangan perlu diraikan menerusi hujah, fakta dan rasa hormat bukan dimusuhi, katanya.

“Maksud Surah An-Nahl ayat 125, jelas menunjukkan bahawa Islam tidak melarang perdebatan. Yang dituntut ialah adab, akhlak dan hujah yang baik. Maka, tidak wajar pelawaan untuk berdebat disamakan dengan sikap tidak beradab.

“Lebih-lebih lagi dalam konteks demokrasi dan musim pilihan raya, perdebatan yang matang memberi ruang kepada rakyat menilai idea, dasar dan kemampuan seseorang pemimpin secara terbuka.

“Rakyat berhak mendengar hujah daripada semua pihak sebelum membuat keputusan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sheikh Umar yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Johor mendakwa, kenyataan Onn Hafiz mengenai kepentingan adab dilihat bercanggah dengan rekod tindakan pemimpin itu sebelum ini.

“Beliau bercakap mengenai adab tetapi pada masa yang sama pernah menggunakan gelaran yang menghina dan berbaur kebencian terhadap mereka yang mempunyai pandangan politik berbeza.

“Jika benar beliau menjunjung nilai adab, beliau sepatutnya menjawab kritikan dengan fakta dan hujah. Bukannya menggunakan bahasa kesat, ejekan atau penghinaan terhadap pihak yang tidak sehaluan.

“Adab sebenar bukan diukur melalui slogan atau kenyataan media. Adab terserlah melalui tutur kata, kesediaan menerima pandangan berbeza serta kematangan berhujah apabila berdepan kritikan,” katanya.

Semalam, Onn Hafiz menyatakan debat terbuka antara calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan pendekatan yang sesuai kerana dikhuatiri mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kempen.

Onn Hafiz juga dilaporkan berkata, budaya politik di Johor selama ini lebih mengutamakan adab, keharmonian dan perbahasan secara tertib berbanding bertikam lidah di pentas terbuka.

Terdahulu calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik menyatakan kesediaan untuk bersemuka dan berdebat dengan mana-mana pihak, terutamanya Onn Hafiz bagi membentangkan visi serta membela nasib keseluruhan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast