Onn Hafiz (kiri) dan Dr Maszlee.

JOHOR BAHRU – Alasan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi tidak mahu berdebat secara terbuka amat mendukacitakan dan tidak mencerminkan semangat demokrasi yang matang.

Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor Bahru, Faezal Muktar berkata, tidak kena pada tempatnya apabila Onn Hafiz menggunakan alasan budaya politik di Johor bukan bertikam lidah atau berdebat.

“Debat bukanlah medan pergaduhan atau permusuhan, sebaliknya ruang untuk rakyat menilai idea, dasar, pencapaian dan hala tuju yang ditawarkan oleh setiap parti politik.

“Rakyat Johor hari ini semakin celik, berpendidikan dan berhak mendengar sendiri hujah daripada pemimpin yang menawarkan diri mentadbir negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jika benar kerajaan negeri yakin dengan rekod pentadbirannya, mengapa perlu takut untuk tampil menjawab soalan secara terbuka di hadapan rakyat?’ soalnya.

“Ramai orang sebut gaya politik matang. Maka, debat atau berbahas adalah start-up level untuk mewujudkan model politik matang,” katanya.

Menurutnya, alasan Onn Hafiz itu hanya mengundang persepsi bahawa kerajaan sedia ada lebih selesa mengelakkan soalan-soalan sukar berbanding mempertahankan prestasi mereka.

Katanya, Johor bukan negeri yang harus kembali kepada budaya politik lama yang hanya bergantung kepada ceramah sebelah pihak tanpa ruang semakan.

Sebaliknya, Johor perlu memimpin budaya politik baharu yang lebih matang, telus dan berasaskan fakta, tegasnya.

“Mengatakan debat bukan budaya Johor juga seolah-olah memperlekehkan kematangan rakyat Johor,” katanya.

Faezal berkata, demokrasi yang sihat memerlukan semak dan imbang, malah perbezaan pandangan tidak sepatutnya ditakuti, sebaliknya diraikan dengan hujah yang matang dan berfakta.

Katanya lagi, dalam suasana hidup demokrasi, perkara yang perlu ditakuti bukan cabaran debat dengan pihak lawan tetapi pemimpin yang tidak berani berdepan dengan budaya kritikal dan kritis.

Semalam, Onn Hafiz dilaporkan berkata, debat terbuka antara calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan pendekatan yang sesuai kerana dikhuatiri mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kempen.

Beliau dilaporkan berkata, budaya politik di Johor selama ini lebih mengutamakan adab, keharmonian dan perbahasan secara tertib berbanding bertikam lidah di pentas terbuka.

Terdahulu calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik menyatakan kesediaan untuk bersemuka dan berdebat dengan mana-mana pihak, terutamanya Onn Hafiz bagi membentangkan visi serta membela nasib keseluruhan rakyat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Berdebat dengan kaki kencing, penipu n munafik buat apa. Cuba tanya si maszlee tu dia dah tunai belum janji dia dngan pengundi simpang renggam. Janji lama berterabur nak tabur janji baru pula. Sembang boleh la.

Comments are closed.