JOHOR BAHRU – Kejadian pembantu rumah mengasari kanak-kanak yang dipercayai anak majikannya dalam video tular dalam media sosial baru-baru ini adalah kejadian pada 9 Februari 2011 dan wanita dalam video berkenaan bukan pembantu rumah yang tular dipukul majikannya.
Perkara itu didedahkan peguam yang mewakili tertuduh, Yulia Arnida, 34, iaitu Mohd Daud Ismail.
Mohd Daud berkata, satu salah faham berlaku apabila video tular itu yang memaparkan insiden pembantu rumah mengasari anak majikan itu sebenarnya bukan anak guamnya.
Beliau berkata, video yang memaparkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) itu adalah pembantu rumah terdahulu yang sudah diberhentikan kerja oleh majikan berkenaan pada Julai 2025 dan dipercayai sudah berada di negara asalnya.
“Video itu memaparkan seorang kanak-kanak ditarik rambut dalam bilik air, dilap dengan kasar menggunakan tuala, disuap secara kasar serta dihempas ke lantai ketika melakukan kerja pembersihan oleh seorang pembantu rumah.
“Selepas video itu tular, timbul persepsi dalam kalangan orang awam bahawa pembantu rumah dalam semua video berkenaan adalah anak guam kami malah terdapat kenyataan daripada peguam pihak majikan yang seolah-olah mengatakan pelaku dalam video terbabit adalah anak guam kami.
“Kami ingin menegaskan bahawa semua rakaman CCTV yang ditularkan itu bukan Yulia Arnida sebaliknya itu adalah pembantu rumah terdahulu bernama Asriati atau dipanggil Mumu. Polis juga sudah menjalankan siasatan dan mengesahkan wanita dalam video berkenaan bukan anak guam kami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas prosiding sebutan semula kes dihadapi Yulia yang didakwa mendedahkan anak majikannya kepada kecederaan fizikal pada 21 Disember 2025.
Mohd Daud berkata, anak guamnya akan membuat laporan polis terhadap individu atau pengguna media sosial yang menimbulkan fitnah terhadap dirinya.
“Tindakan individu dan beberapa pengguna media sosial yang sengaja memuat naik dan berkongsi rakaman CCTV itu mempunyai niat jahat untuk mengelirukan dan membangkitkan kemarahan orang ramai serta menfitnah anak guam kami.
“Kekeliruan dan fitnah itu mengundang pelbagai kecaman dan menimbulkan persepsi negatif terhadap anak guam kami yang pada asalnya adalah mangsa yang dipukul oleh majikannya dalam video tular yang kejadiannya berlaku pada 22 Disember 2025.
“Kami juga akan memulakan tindakan sivil fitnah terhadap mana-mana pihak yang terus memuat naik, menularkan, mengulang siar rakaman CCTV bertarikh 9 Februari 2011 itu dan mengaitkan dengan anak guam kami,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:















