KUALA LUMPUR – Polis giat mengesan pemandu Perodua Kembara yang melarikan diri selepas memandu secara berbahaya hingga mengakibatkan kemalangan di Lebuhraya Persekutuan, di sini pada 20 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya telah mengesan kejadian itu menerusi video yang tular di media sosial, semalam.
“Siasatan mendapati, kejadian berlaku sekitar jam 6.10 petang yang mana kenderaan itu dipandu warga tempatan berusia 59 tahun dari arah Shah Alam menghala ke Kuala Lumpur.
“Pemandu terbabit memandu secara berbahaya sebelum berlaku pelanggaran dengan sebuah kereta dan motosikal sehingga menyebabkan penunggang motosikal cedera ringan dan dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, Shamsudin berkata kes terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Sjn M. Kumaran di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette















