Ab Rahaman Arsad

JOHOR BAHRU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor menerima 420 permohonan permit bagi aktiviti berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, setakat sehingga pukul 11.59 malam tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 414 permit sudah diluluskan.

“Dalam tempoh sama, sebanyak 191 aktiviti politik telah berlangsung dan dipantau oleh petugas PDRM.

“Pemantauan PDRM dibuat bagi memastikan setiap aktiviti mematuhi peruntukan undang-undang serta syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, situasi keselamatan sepanjang proses PRN Johor setakat ini adalah aman dan terkawal.

Sehingga kini kata beliau, tiada insiden yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dilaporkan.

“Semua aktiviti politik dan kempen turut berlangsung dalam keadaan aman, teratur serta mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya.

Menurut Ab Rahaman, bermula dari Hari Penamaan Calon kelmarin, pihaknya sudah menerima sebanyak tujuh laporan polis berkaitan PRN.

Katanya daripada jumlah itu, tiga kertas siasatan telah dibuka bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan khianat dengan api atau bahan letupan.

“Masing-masing satu kertas siasatan juga dibuka dibawah seksyen 427 kanun keseksaan iaitu kesalahan khianat dan Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948/Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988, atas kesalahan cuma melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut serta penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian,” katanya.

Jelas Ab Rahaman, seramai 3,903 petugas membabitkan 544 pegawai, 3,247 anggota serta 112 pegawai bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang proses PRN Johor berjalan lancar.

Pihaknya menyeru semua parti politik, calon, penyokong dan seluruh masyarakat agar terus menghormati undang-undang serta mengamalkan kematangan dalam berpolitik.

“Semua pihak dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang provokasi, tidak menyebarkan berita palsu atau maklumat yang belum disahkan serta menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast