Ahli Majlis Pimpinan AMK, Farzana Hayani
Ahli Majlis Pimpinan AMK, Farzana Hayani

KUALA LUMPUR – Rakyat diminta tidak terpedaya dengan naratif yang didakwa cuba dibawa Datuk Seri Rafizi Ramli yang disifatkan sebagai “arkitek reformasi gagal” selepas diberi peluang memegang jawatan kanan dalam Kerajaan Perpaduan.

Ahli Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Farzana Hayani mendakwa, pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama) itu kini didakwa cuba mengalihkan perhatian daripada kegagalannya sendiri ketika berada dalam pentadbiran kerajaan.

Menurutnya, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Rafizi tampil membawa pelbagai formula serta agenda reformasi yang dijanjikan kepada rakyat.

Bagaimanapun, katanya, apabila diberi kepercayaan memegang jawatan kanan dalam kerajaan, banyak janji dan pembaharuan yang dicanang gagal diterjemahkan kepada pelaksanaan yang berkesan.

“Hari ini, Rafizi dilihat cuba menampilkan dirinya sebagai pengkritik kerajaan dengan mendakwa agenda reformasi tidak dilaksanakan.

“Hakikatnya, beliau sendiri merupakan sebahagian daripada pentadbiran yang bertanggungjawab terhadap pelaksanaan dasar-dasar tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Farzana berkata, adalah tidak wajar untuk Rafizi melepaskan tanggungjawab dengan meletakkan sepenuhnya kesalahan terhadap pihak lain.

Katanya, tindakan bekas Timbalan Presiden PKR itu yang didakwa cuba meraih semula sokongan penyokong Pakatan Harapan (PH) menerusi naratif menyalahkan kerajaan hanya memperlihatkan usaha menutup kelemahan serta kegagalannya sendiri ketika diberi mandat.

“Rakyat berhak menilai berdasarkan rekod prestasi, bukannya retorik politik yang berubah mengikut keadaan.

“PKR akan terus turun padang bagi menjelaskan fakta sebenar kepada rakyat agar mereka tidak terpengaruh dengan dakwaan yang mengelirukan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau berkata, rakyat perlu membuat penilaian berasaskan fakta, rekod pencapaian dan tanggungjawab yang telah dipikul oleh setiap pemimpin dan bukannya menerima bulat-bulat naratif yang tidak disandarkan kepada bukti kukuh di masa akan datang. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast