JOHOR BAHRU – Manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dijangka diumumkan dalam masa sehari dua lagi.
Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Fuziah Salleh berkata, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR akan membuat pengumuman berkenaan.
“Insya-Allah, manifesto PH dijangka diumumkan dalam masa sehari dua lagi. Manifesto ini sudah dimuktamadkan, kita menunggu tarikh daripada Pengerusi PH,” katanya.
Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke kilang SDS Food Manufacturing Sdn Bhd di Jalan Kempas Lama, di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo.
Fuziah berkata, manifesto PH bagi PRN Johor itu menyentuh soal kebajikan dan keperluan rakyat Johor.
“Yang pastinya, manifesto yang akan dibentangkan ini menepati kehendak dan citarasa rakyat Johor termasuk menyentuh soal kebajikan,” ujarnya.
Sebelum ini Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mendakwa, PH dan Perikatan Nasional (PN) yang masih gagal mengumumkan manifesto masing-masing didakwa kerana tidak bersedia berkhidmat kepada rakyat.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor itu berkata, ini berbeza dengan BN yang melakukan persediaan awal dengan mengumumkan manifesto sebelum hari penamaan calon bertujuan menjadikan Johor maju menjelang 2030.
Beliau juga mendakwa, banyak janji dalam manifesto PH semasa PRN Johor sebelum ini masih tidak ditunaikan.
Onn Hafiz berkata, PH tidak seharusnya menabur janji baharu sedangkan janji dalam manifesto lama masih tidak mampu ditunaikan.- MalaysiaGazette
















