KUALA LUMPUR – Suasana Dewan Rakyat hari ini tegang apabila berlaku pertikaman lidah antara Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran bersama beberapa Ahli Parlimen berhubung isu kes seksual kanak-kanak yang dikaitkan dengan Kelantan.
Perbalahan tercetus selepas Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) meminta penjelasan kerajaan berhubung isu yang dibangkitkan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang semalam membangkitkan isu mengenai dakwaan peningkatan kes seksual kanak-kanak di Kelantan.
Ahmad Fadhli berkata, perkara itu perlu diperjelaskan kerana isu tersebut melibatkan fakta dan persepsi terhadap pengendalian kerajaan dalam menangani jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
Beliau berkata, laporan media yang dirujuk oleh Rayer sebelum ini adalah berdasarkan laporan beberapa portal berita dan bukannya sumber tidak sahih.
“Saya nak mintak penjelasan Timbalan Menteri yang dibangkitkan oleh Jelutong semalam, yang membangkitkan mengapa di Kelantan ada kes jenayah seksual kanak-kanak dan menjadi liputan yang besar di media,” katanya.
Bingkas bangun, Rayer berkata perkara itu adalah satu tuduhan terhadap dirinya.
“Saya telah merujuk kepada laporan-laporan yang diterbitkan bukan oleh The Rocket. Satu daripada New Straits Times dan satu lagi Free Malaysia Today yang menunjukkan statistik kes seksual di Kelantan.
“Persoalan saya kepada Timbalan Menteri, kenapa kerajaan tidak memberi tumpuan untuk mengurangkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang semakin berleluasa di Kelantan? Itu persoalan saya, bukan membohong,” katanya.
Bagaimanapun, Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) bingkas tampil mencelah dengan mempersoalkan ketepatan rujukan yang digunakan serta meminta tarikh laporan tersebut dijelaskan.
Radzi berkata, laporan yang dirujuk berhubung Kelantan antara negeri tertinggi kes seksual kanak-kanak adalah bertarikh 16 Mac 2023, manakala terdapat laporan lain pada 15 Mei 2024 yang menunjukkan Selangor mencatatkan kadar lebih tinggi.
Menurut beliau, faktor populasi turut perlu diambil kira dalam menilai statistik jenayah seksual.
“Jangan politikkan benda ini. Jenayah seksual kanak-kanak bukan soal negeri mana. Di negeri mana pun berlaku. Kita fokus bagaimana hendak selesaikan,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Fadli turut mempersoalkan penggunaan laporan media tanpa disertakan keseluruhan konteks statistik rasmi.
Beliau berkata, berdasarkan statistik rasmi, Kelantan tidak pernah muncul sebagai negeri tertinggi bagi kes jenayah seksual membabitkan kanak-kanak.
“Memetik media sana sini tanpa ada statistik adalah satu perkara yang tidak boleh dilakukan oleh seorang Ahli Parlimen. Ini tidak boleh dipolitikkan,” katanya.
Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) turut mendesak agar Rayer memaklumkan tahun bila fakta yang diungkapkan beliau di Dewan Rakyat, semalam.
“Bila tahunnya fakta ini,” katanya mencelah.
Dalam pada itu, Kulasegaran berkata, kerajaan mengambil serius semua laporan berkaitan kes seksual kanak-kanak dan setiap aduan akan disiasat oleh pihak berkuasa.
Beliau berkata, isu berkenaan tidak seharusnya dijadikan perbalahan politik kerana perkara utama adalah mencari jalan penyelesaian bagi melindungi kanak-kanak.
“Saya boleh ditugaskan untuk menjawab sebanyak mana soalan yang ditanya. Kalau saya tidak menjawab, semua rugi. Kita fokus kepada penyelesaian,” katanya.
Beliau turut meminta semua pihak memberikan ruang untuk kerajaan menjawab berdasarkan fakta dan data rasmi, bukan sekadar berdasarkan persepsi.
Pertikaman lidah itu bagaimanapun berakhir apabila Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yie mengarahkan Kulasegaran meneruskan perbentangan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Semalam, Rayer mengaitkan peningkatan kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dengan negeri Kelantan. – MalaysiaGazette
















