KUALA LUMPUR – Harga runcit bahan api tanpa subsidi RON 97, RON 95 dan diesel turun 10 sen seliter masing-masing kepada RM4, RM3.37 dan RM3.97 bagi tempoh 1 Julai hingga 8 Julai 2026.
Kementerian Kewangan berkata, harga runcit petrol dan diesel bagi minggu ini diumumkan hari ini bagi menyelaraskan tempoh harga baharu dengan pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) mulai esok, 1 Julai 2026.
Jelasnya, BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) yang akan dilaksanakan mulai esok membolehkan rakyat Malaysia yang layak membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter melalui pengesahan MyKad di stesen minyak seluruh negara.
“Selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit petrol dan diesel tanpa subsidi bagi minggu ini diturunkan berikutan penyusutan purata harga pasaran antarabangsa minggu terdahulu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Kementerian Kewangan, harga pasaran petroleum antarabangsa terus menyederhana berbanding paras tertinggi yang dicatatkan semasa kemuncak krisis Asia Barat.
Perkembangan itu disokong oleh tanda-tanda pemulihan aliran bekalan global serta jangkaan bahawa rundingan berkaitan konflik tersebut dapat mengurangkan risiko gangguan bekalan minyak mentah.
Namun begitu, pasaran petroleum global masih belum kembali sepenuhnya stabil. Risiko terhadap harga minyak mentah, kos penghantaran dan kestabilan bekalan masih kekal selagi konflik belum mencapai penyelesaian muktamad, manakala pemulihan rantaian bekalan juga mengambil masa.
“Walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat. Perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi,” katanya.
Harga bahan api bersubsidi kekal seperti sebelumnya. -MalaysiaGazette
















