Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Satu proses kawat cam membabitkan mangsa kes buli di sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Johor telah dilakukan semalam bagi mengenal pasti kesemua suspek yang disyaki terlibat.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya sedang menanti laporan penuh serta hasil siasatan  daripada pihak polis berhubung kes yang membabitkan enam pelajar itu.

“Kita memang tengah menanti hasil siasatan penuh daripada pihak berkuasa polis.

“Semalam sudah diadakan kawat cam terhadap mereka yang disyaki dan terbabit,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Anugerah Pendidikan MARA 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kes enam pelajar senior sebuah sekolah berasrama di Muar dipercayai membuli dan memukul seorang pelajar tingkatan dua kerana menghisap vape.

Dalam kejadian itu, kesemua suspek lelaki berusia 17 tahun ditahan dalam beberapa siri tangkapan di Muar dan Alor Gajah, Melaka, awal pagi kelmarin.

Kelmarin, Asyraf Wajdi memberi jaminanan enam pelajar MRSM di Johor yang disyaki terlibat dalam kes buli berdepan tindakan disingkirkan daripada institusi berkenaan sekiranya didapati bersalah melakukan perbuatan tersebut.

Beliau berkata, susulan laporan itu, beliau telah mengarahkan Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) MARA dan pentadbiran MRSM supaya mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) dengan kadar segera.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang isu luput disiplin, moral atau gangguan melibatkan buli sama ada dalam bentuk fizikal, mental mahu pun moral.

Jelasnya, falsafah asas pendidikan institusi itu adalah untuk melahirkan modal insan dan generasi pemimpin masa hadapan yang seimbang, bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik dan kemahiran, malah mempunyai nilai jati diri serta akhlak yang tinggi.

Menurut beliau, falsafah pendidikan MARA adalah sentiasa mahu membentuk pelajar yang holistik dan seimbang.

“Mereka bukan sahaja harus mempunyai kemahiran dan kompetensi tinggi, tetapi mesti mempunyai akhlak, jati diri dan akal budi yang tinggi.

“Sebab itulah kita tidak boleh kompromi dalam perbuatan-perbuatan buli sama ada bersifat fizikal, moral mahu pun mental,” katanya.

Sementara itu, Asyraf Wajdi memberitahu MARA bakal menempatkan warden sepenuh masa yang dipilih daripada kalangan bekas tentera atau veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula fasa pertama program itu yang akan membabitkan 10 MRSM esok.

Menurut beliauy, Inisiatif tersebut akan menyaksikan pelantikan empat orang warden sepenuh masa iaitu dua lelaki dan dua perempuan di setiap MRSM sebelum diperluaskan ke kesemua 58 MRSM di seluruh negara menjelang Januari tahun depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast