KLUANG – Tempoh bertenang selepas pengumuman calon Barisan Nasional (BN) amat penting untuk menyatukan semula semua pemimpin dan ahli akar umbi parti yang terkesan dengan keputusan tersebut.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, isu protes dan berkecil hati apabila nama tidak tercalon atau digantikan dengan calon lain merupakan perkara biasa yang sering berlaku dalam mana-mana pilihan raya.
“Dalam carta politik, apabila calon diumumkan, graf penerimaan dalam kalangan ahli memang akan turun sedikit disebabkan ada yang kecewa tidak terpilih.
“Seterusnya kita ada cooling period (tempoh bertenang) sekitar satu atau dua hari.
“Masuk hari ketiga dan keempat, mereka yang sebelum ini emosi atau merajuk akan kembali sedar. Inilah budaya parti keramat UMNO,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau ditemui ketika membantu calon BN untuk N29 Mahkota Syed Husin Syed Abdullah di sini.
Syed Husin yang merupakan penyandang kerusi Mahkota akan ditandingi dua lagi calon iaitu dari Dr Ahmad Zuhan Md Zain (Pakatan Harapan) dan Abd Hamid Ali (Bersama).
Jelas Abdul Azeez, peranan tokoh-tokoh luar yang turun berkempen di Johor bersama-sama jentera mempunyai tugasan utama iaitu sebagai perawat untuk memulihkan semula keharmonian dalaman parti.
“Sebab itu ada ‘bomoh-bomoh luar’ macam kami ini datang.
“Kami datang membawa pengalaman untuk memujuk dan menyedarkan semula sahabat-sahabat kita yang sedang berkecil hati.
“Kita ingatkan balik apa jadi kalau kita berpecah, akhirnya parti kalah dan rakyat yang merana.
“Apabila mereka sedar balik, Insya-ALLAH keadaan kembali pulih, manusia ini semua ada hati bukan plastik di dalam dada.
“Orang UMNO ini akhirnya boleh berdamai dengan hati dan takdir demi masa depan parti,” ujarnya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai bekas pemimpin UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang masih dilihat menghentam UMNO, Abdul Azeez berkata, ia bukan perkara asing.
“Saya puji keterbukaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sentiasa berlapang dada dan sedia menerima semula mana-mana ahli yang ingin pulang ke pangkuan parti selepas fasa kekecewaan mereka berakhir.
“Kita berilah laluan kepada mereka yang kecewa sekejap.
“Saya sangat yakin, mereka juga akhirnya akan mengetepikan ego dan berdamai dengan takdir demi parti keramat yang kita semua sayangi,” katanya lagi.
Abdul Azeez turut menyifatkan Mohd Puad sebagai seorang sahabat yang sangat dekat dengan dirinya.
“Beliau adalah brother saya, kenal dia terlalu lama.
“Insya-ALLAH, saya yakin hati beliau akan sejuk kembali dan isu dalaman ini dapat diselesaikan dengan cara baik,” katanya.
Beliau juga optimis PRN Johor ini, kemenangan akan berpihak kepada BN dengan meraih kemenangan untuk membentuk kerajaan negeri. – MalaysiaGazette
















