Menteri Besar Johor yang juga calon BN N.26 Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazali berucap pada Majlis Penyampaian Amanat Kepada Jentera Barisan Nasional Bahagian Batu Pahat sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Kampung Mengkudu, Rengit, Batu Pahat. Foto AIZAT ZAINAL, 30 JUN 2026.

BATU PAHAT – Barisan Nasional (BN) Johor menyifatkan kehadiran dua pemimpin Pas Batu Pahat dalam Majlis Penyampaian Amanat dan Pelancaran Jentera BN Bahagian Batu Pahat sebagai satu isyarat positif, kata Pengerusinya, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Malah, beliau mengakui terkejut serta terharu dengan sokongan yang ditunjukkan oleh Pas kepada calon-calon BN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurut beliau, kehadiran Ahli Jawatankuasa Pas Batu Pahat, Misran Samian dan Hazrin Abdul Hamid membuktikan keterbukaan mereka untuk bersama-sama memberikan sokongan kepada calon BN.

“Saya terharu dan terkejut pada masa sama mereka sudi untuk bersama-sama menyokong calon-calon BN dan sudah semestinya kita mengalu-alukan kehadiran dan sokongan mereka,” katanya kepada media selepas merasmikan majlis berkenaan di Dewan Kampung Parit Mengkudu, Rengit, di sini hari ini.

Mengulas kebimbangan yang dibangkitkan sesetengah pihak mengenai sokongan Pas terhadap BN, Onn Hafiz menegaskan, perkara itu tidak seharusnya dikaitkan dengan isu perkauman seperti didakwa pemimpin DAP.

Menurutnya, DAP sendiri pernah bekerjasama dengan Pas sebelum ini tanpa menimbulkan sebarang isu.

“Dulu DAP bersama Pas tidak menjadi masalah. Apabila mereka hendak menyokong BN, tiba-tiba ia dijadikan isu perkauman.

“Saya yakin rakyat Johor lebih matang dan bijaksana daripada mendengar dakwaan pemimpin DAP yang sudah tidak mempunyai modal politik di negeri ini,” katanya.

Beliau turut menyerahkan kepada kepimpinan dan penyokong Pas untuk membuat keputusan sama ada mahu menterjemahkan sokongan tersebut dalam bentuk undi kepada calon-calon BN pada hari pengundian.

“Terpulang kepada pemimpin-pemimpin Pas dan kita doakan lagi ramai yang mengundi BN, lagi baik untuk kita,” katanya.

Dalam ucapannya ketika merasmikan pelancaran jentera BN, Onn Hafiz turut menegaskan kehadiran pemimpin Pas itu bukan sesuatu yang dirancang.

“Saya dapat maklumat semalam kawan-kawan Pas hendak datang. Ini bukan perkara dirancang. Kecil tapak tangan, nyiru kita tadahkan,” katanya.

Pada Ahad lalu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan mengarahkan ahli dan penyokong parti itu mengundi calon UMNO-BN di kerusi yang tidak ditandingi PN pada PRN Johor yang akan berlangsung pada 11 Julai ini.

Sementara itu, Misran yang ditemui selepas majlis berkenaan enggan mengulas lanjut mengenai kehadirannya.

“Nanti kita ulas hari lain,” katanya ringkas. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast