KLUANG – Kempen pilihan raya dengan menyerang peribadi serta memainkan sentimen tertentu sudah dianggap tidak relevan, terutamanya dalam kalangan generasi muda yang lebih menilai pencapaian dan kualiti perkhidmatan seseorang calon.

Penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) N29 Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah yang kembali dicalonkan Barisan Nasional (BN) berkata, setiap calon perlu menjaga nilai murni dan fokus meyakinkan rakyat melalui gerak kerja yang berkesan.

“Kita perlu menjaga nilai-nilai murni kita kerana apa yang lebih penting adalah bagaimana untuk meyakinkan rakyat.

“Untuk menyerang peribadi ini bagi saya sebagai orang muda ia sudah tidak berapa relevan.

“Pencapaian dan juga perkhidmatan menjadi kayu ukur kepada seseorang calon itu,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui dalam program bersama penduduk di sekitar Kluang hari ini.

Mengulas mengenai perbezaan dinamika kempen kali ini berbanding Pilihan Raya Kecil (PRK) yang lalu, Syed Hussien mengakui situasi pasang surut jentera adalah berbeza kerana tumpuan pemimpin kini terbahagi ke seluruh negeri.

“Kerana ketika Pilihan Raya Kecil Mahkota, kehadiran pelbagai jentera dan juga pemimpin tiba di Kluang bagi menunjukkan sokongan mereka.

“Tetapi kali ini kita melihat bahawa masing-masing menjaga kawasan masing-masing dalam negeri Johor terutamanya di kawasan-kawasan tumpuan.

“Tetapi di Mahkota ini kita melihat ini merupakan satu kayu ukur kepada kami yang telah berkhidmat selama setahun enam bulan dan saya dapat melihat kemesraan dan juga gerak kerja kita ini dapat dirasai oleh warga DUN Mahkota itu sendiri,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kesukaran berkempen di kawasan bandar yang mempunyai komposisi kaum campuran yang sering dianggap sebagai laluan sukar buat BN, Syed Hussien optimis hubungan rapat yang telah dibina menjadi benteng kekuatannya.

“Saya tak lihat perkara ini adalah satu perkara yang sukar.

“Kita yakin kerana kita sendiri buat kerja dan turun padang dan pada masa sama kemesraan dan kesefahaman antara kita sesama kita di dalam kawasan N.29 Mahkota ini telah terjalin.

“Ada yang sebelum lagi Pilihan Raya Kecil, ada yang selepas Pilihan Raya Kecil kita menjalinkan hubungan.

“Dengan kemesraan yang ada ini, saya dapat melihat bahawa masyarakat masih lagi kecenderungan mereka ke arah kerajaan yang ada ketika ini di dalam negeri Johor,” katanya lagi.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai manifesto yang sering digunakan oleh calon ketika musim pilihan raya, Syed Hussien mempunyai pandangan tersendiri mengenai takrifan ‘janji’ tersebut.

“Agenda holistik kerajaan negeri yang sedang berjalan adalah lebih penting untuk memberi impak terus kepada kemajuan lokaliti di Mahkota.

“Ada setengah orang mengatakan manifesto ini adalah satu aku janji dan ada setengah kerajaan juga mengatakan bahawa manifesto ini bukanlah satu janji.

“Bagi saya adalah bagaimana untuk kita meyakinkan.

“Adakah kita hanya meyakinkan dengan janji ataupun kita meyakinkan dengan gerak kerja kita? Itu lebih penting kerana bagi saya agenda kerajaan negeri lebih penting kerana ianya dapat dilakukan secara holistik di setiap kawasan di dalam negeri Johor itu sendiri.

“Saya melihat bahawa gerak kerja dan juga momentum negeri bakal memberi limpahan kepada kawasan di dalam N.29 Mahkota itu sendiri,” katanya.

DUN Mahkota menyaksikan pertembungan tiga penjuru iaitu Syed Hussein (BN), Dr Ahmad Zuhan Md Zain (PH) dan Abd Hamid Ali (Bersama).

Pilihan Raya Negeri Johoer akan berlangsung pada 11 Julai ini  dengan jumlah pemilih berdaftar untuk kerusi DUN Mahkota adalah sebanyak 66,318 pengundi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast