KUALA LUMPUR – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melancarkan sembilan teknologi baharu bagi mempercepat pengkomersialan inovasi serta meningkatkan nilai tambah industri sawit negara menerusi Program Pemindahan Teknologi Sawit MPOB (TOT MPOB 2026), hari ini.
Antara teknologi yang diperkenalkan ialah SawitSCAN, sistem pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi pengimejan yang mampu mengenal pasti tahap kematangan tandan buah segar (TBS) secara automatik, sekali gus meningkatkan ketepatan penggredan buah dan kecekapan operasi kilang.
MPOB turut memperkenalkan MPOB F7, baja pelepasan terkawal bersalut polimer tumbuhan yang dapat meningkatkan kecekapan penggunaan baja, mengurangkan kehilangan nutrien serta mengurangkan impak terhadap alam sekitar. Teknologi itu telah dikomersialkan oleh Smart Fert Sdn. Bhd.
Dalam sektor makanan dan kesihatan, MPOB melancarkan tiga inovasi baharu iaitu Daging Analog Berasaskan Sawit, Serat Diet Sawit dan teknologi meningkatkan penyerapan vitamin E tokotrienol dalam tubuh manusia bagi memenuhi permintaan global terhadap makanan berfungsi dan produk kesihatan bernilai tinggi.
Turut diperkenalkan ialah Sawit EcoTherm, bendalir penyejuk tidak beraliran elektrik berasaskan sawit yang dibangunkan sebagai alternatif mampan bagi sistem penyejukan pusat data, selain membantu meningkatkan kecekapan tenaga dan mengurangkan penggunaan air.
Program itu turut mengetengahkan beberapa inovasi lain termasuk minyak pemprosesan getah berasaskan sawit, minyak asas pelincir berkelikatan tinggi untuk kegunaan industri, teknologi pengeluaran Monopropilena Glikol (MPG) berasaskan bio serta bahan tanaman piawai bagi mempercepat pembangunan varieti sawit yang lebih tahan terhadap penyakit Ganoderma.
TOT MPOB 2026 turut mengetengahkan pelbagai inovasi strategik yang mencerminkan kemajuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) MPOB dalam membangunkan penyelesaian bernilai tinggi dalam sektor sawit.
Majlis perasmian TOT MPOB 2026 telah disempurnakan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, yang menekankan kepentingan inovasi sebagai pemacu utama kepada transformasi industri sawit negara.
“Masa depan industri sawit tidak lagi bergantung kepada pengeluaran komoditi semata-mata. Nilai sebenar industri ini terletak pada keupayaan kita mencipta teknologi, menghasilkan produk bernilai tinggi dan mempercepatkan pengkomersialan inovasi tempatan yang mampu bersaing di peringkat global,” katanya.
Menurutnya, pembangunan teknologi seperti SawitSCAN, sistem pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi pengimejan yang mampu mengenal pasti tahap kematangan tandan buah segar (TBS) secara automatik, tepat dan pantas berupaya meningkatkan kualiti buah sawit yang diproses di kilang.
“Penggunaan teknologi berpotensi mengurangkan kebergantungan kepada pemeriksaan manual yang subjektif, mempercepatkan proses penggredan buah, meningkatkan kecekapan operasi kilang serta menyumbang kepada peningkatan produktiviti industri sawit negara,” ujar beliau.
Pada majlis sama, Noraini turut menyaksikan pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) dan Memorandum Persefahaman (MoU) antara MPOB dengan beberapa syarikat bagi pengkomersialan teknologi Sawit Geo-Agro Solutions, mayonis vegan berasaskan sawit dan tisu adipos analog berasaskan sawit.
Sementara itu, Pengerusi MPOB, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata, kejayaan sesuatu teknologi tidak diukur melalui jumlah paten yang didaftarkan, sebaliknya berdasarkan sejauh mana teknologi itu dimanfaatkan industri serta memberi impak kepada ekonomi negara.
Beliau berkata, sehingga kini MPOB telah membangunkan 364 teknologi, dengan 241 daripadanya berjaya dikomersialkan, sekali gus membuktikan keupayaan penyelidikan tempatan menghasilkan inovasi yang mempunyai nilai komersial tinggi.
Program TOT MPOB 2026 menghimpunkan lebih 500 peserta terdiri daripada pemain industri, usahawan, penyelidik, pelabur dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), selain menampilkan sesi padanan perniagaan, demonstrasi teknologi, uji rasa produk berasaskan sawit serta taklimat peluang pembiayaan pengkomersialan. – MalaysiaGazette















