Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh menyeru pengundi-pengundi untuk memastikan Barisan Nasional (BN) menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 11 Julai ini.

Dengan nada sindiran, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berkata, ini bagi memastikan hasrat pemimpin DAP, Nga Kor Ming untuk letak jawatan dapat direalisasikan.

“Nanti mesti geng ceplos akan jawab,kenapa saya tidak letak jawatan? Jadi saya nak jawab siap-siap, untuk makluman, (mengikut) Undang-Undang Negeri Melaka perletakan jawatan seorang exco mestilah diperkenankan oleh TYT Negeri Melaka.

“Dan dua surat perletakan jawatan saya telah diberikan kepada TYT negeri Melaka dan Ketua Menteri Melaka, tetapi hasrat saya tidak diperkenankan walaupun dua surat telah dihantar. Itu jawapan saya kepada ceplos nanti ya,” katanya menerusi hantaran di Facebook, malam ini.

Tambah Dr Akmal, sekiranya BN menang pada PRN Johor maka Kor Ming perlu meletak jawatan dan rakyat pula akan gembira.

“Tapi yang pasti, rakyat Johor tolong tunaikan permintaan nga kor ming ini dan juga impian ramai orang untuk melihat Nga Kor Ming letak jawatan menteri,” katanya lagi.

Terdahulu, dalam temu bual eksklusif bersama Oriental Daily, Timbalan Pengerusi DAP itu dilaporkan berkata beliau sanggup menjadi individu pertama meletakkan jawatan sekiranya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibebaskan tanpa sebarang kesalahan.

Menurutnya, DAP juga tidak menolak kemungkinan menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan sekiranya perkara itu berlaku kerana ia merupakan “garis merah” parti tersebut.

Ini kerana Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu mendakwa, UMNO Johor berulang kali menyuarakan hasrat supaya Najib dibebaskan lebih awal dengan mendakwa slogan “UMNO menang besar, Najib pulang ke rumah” merupakan agenda parti itu. -MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast