JOHOR BAHRU – Pengalaman lima tahun lalu berdamping dengan masyarakat menjadi keistimewaan calon tunggal Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Amir Syafiq Ameer Soekre, 40, yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai menganggapnya seperti satu tiket untuk menangi di kerusi tersebut.
“Biar pun berdepan tiga pencabar muka baharu di kerusi DUN Skudai, namun pengalaman saya sebagai aktivis dan kerja akar umbi memberi kelebihan buatnya.
“Sebagai calon memang ini kali pertama saya bertanding, tetapi sebagai seorang aktivis, sudah lima tahun saya kita mendekati rakyat di Skudai, mengenal pasti masalah dan menyelesaikan masalah mereka.
“Rasanya, kita sudah ada kaedah-kaedah yang kita boleh laksanakan, nak berjumpa orang ini saya rasa tak ada masalah.
“Saya tengok calon lain pun muka baharu, jadi ini persaingan yang sihatlah. Cumanya, kita nampak peluang kita untuk menang apabila lihat apa yang sudah kita lakukan sebelum ini. Itu pengalaman untuk saya lebih ke hadapan. Biar rakyat menilai,” katanya.
Beliau berkata demikan ketika ditemui ketika berkempen di sekitar Taman Skudai Baru, Skudai di sini, hari ini.
Amir Syafiq mewakili PSM berdepan tiga calon lain bagi merebut kerusi DUN Skudai yang disandang Marina Ibrahim daripada Pakatan Harapan (PH).
Calon lain di DUN Skudai adalah calon Barisan Nasional (BN), Nicol @ Ah Kee yang dipindahkan ke kawasan itu pada PRN kali ini; calon PH, Kartiyaini Jeyapalan dan calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), Eugene Chua Meng Chong
Amir Syafiq yang juga Setiausaha PSM Johor berkata, atas dasar itu juga menjadi sebab PSM memilih Skudai untuk dijadikan satu-satunya kerusi DUN yang ditandingi.
“Sebelum ini, kita bertanding di Kota Iskandar pada 2022, tetapi kali ini kita memilih Skudai disebabkan PSM ini adalah satu parti yang kita sudah menjalankan kerja-kerja akar umbi.
“Kita banyak bantu pekerja-pekerja yang tertindas di sini, jadi apabila pilihan raya kita merasakan bahawa ini adalah tempat yang kita akan gunakan sebagai platform untuk kita mengangkat suara-suara rakyat marhaen,” katanya.
Berkongsi hari keempat berkempen, Amir Syafiq berkata, banyak perkara positif diterimanya selain mendengar seberapa banyak keluh-kesah rakyat kawasan itu untuk dijadikan amanah buatnya jika terpilih menjadi wakil rakyat.
Beliau turut berkongsi lebih selesa memilih kaedah turun padang dan bersemuka dengan rakyat, selain tidak ketinggalan dengan kaedah teknologi baharu untuk aktif di media sosial.
“Antara yang disuarakan rakyat di sini adalah masalah infrastruktur termasuklah jalan raya kerana di sini kerap berlakunya kesesakan lalu lintas dan juga ada jalan-jalan berlubang.
“Saya juga ada jumpa seorang makcik yang kata sewa rumah di sini semakin mahal, dia pula kerja pembantu kedai sahaja jadi tak mampu jika harga sewa rumah pun semakin tinggi. Ini antara perkara yang kita cuba selesaikan nanti,” katanya.
Amir Syafiq turut berkongsi kesedihan bersama-sama penduduk Skudai apabila ‘kehilangan’ wakil rakyat yang benar-benar berkhidmat untuk mereka iaitu Marina.
Katanya, majoriti penduduk Skudai yang ditemui menyatakan Marina adalah wakil rakyat terbaik yang dipilih mereka.
“PSM menghormati beliau (Marina), tetapi sedihnya apabila seorang wakil rakyat yang membuat kerja dengan baik dan disayangi rakyat menjadi ‘mangsa’ percaturan dalaman DAP.
“Namun begitu, bagi seorang calon, saya dapat rasa ada satu semangat yang ditinggalkan Marina di sini, menyebabkan saya juga perlu buat kerja dengan sebaik mungkin dan memberi pilihan kepada rakyat untuk menilai bahawa kami boleh buat seperti Marina,” katanya.- MalaysiaGazette
















