Gelagat penyokong yang hadir pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di SLF Ballroom, Muar. Foto SADIQ SANI, 21 JUN 2026.

DEWAN Negeri Johor ke-15 telah dibubarkan secara rasmi pada 1 Jun 2026 oleh Menteri Besar Johor,  Datuk Onn Hafiz Ghazi selepas mendapat perkenan pemangku raja Johor, Tunku Mahkota Ismail. Warta pembubaran telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 2 Jun 2026. Mengikut Klausa 23(4) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895, pilihan raya umum bagi memilih semula 56 ahli Dewan Negeri mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran, dan tarikh mengundi di seluruh negeri dijangka sekitar 11 Julai 2026.

Menjelang tarikh tersebut, sudah pasti suasana akan sibuk dengan hiruk-pikuk kempen dan gelombang retorik yang memanas di media sosial. Namun, satu persoalan asas yang sering bermain di fikiran rakyat tetapi mungkin terlepas pandang oleh sebahagian calon ialah tentang nilai sebenar pemimpin dan ciri kepimpinan yang dituntut oleh ajaran Islam, khususnya menurut kerangka Siyasah Syariyyah khusus bagi negeri yang berpegang kepada aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah?

Kepimpinan sebagai amanah, bukan ganjaran
Perbahasan mengenai kepimpinan telah lama dibincangkan oleh sarjana Barat melalui pelbagai pendekatan teori antaranya seperti Teori Sifat oleh Gordon Allport dan Ralph Stogdill yang menekankan ciri peribadi pemimpin, Teori Tingkah Laku oleh Kurt Lewin yang memberi fokus kepada gaya kepimpinan dan Teori Kepimpinan Transformasional oleh James MacGregor Burns dan Bernard Bass yang menumpu kepada keupayaan pemimpin menginspirasikan perubahan. Kesemua teori ini cuba menjelaskan faktor keberkesanan seseorang pemimpin melalui gaya, karakter atau karisma yang dimiliki.

Namun dari perspektif Siyasah Syariyyah, kepimpinan tidak dilihat sekadar soal kemahiran mengurus atau pencapaian organisasi, sebaliknya amanah besar yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT. Ulama seperti al-Mawardi dalam karya al-Ahkam al-Sultaniyyah dan Imam al-Ghazali menegaskan bahawa pemimpin yang adil menjadi benteng kestabilan ummah, manakala kepimpinan yang zalim berpotensi mencetuskan kerosakan dalam masyarakat. Ukuran kepimpinan dalam perspektif ini ialah menuntut pemimpin yang memiliki sifat al-‘adl (keadilan), amanah dan mengamalkan prinsip syura dalam membuat keputusan.

Ketiga-tiga elemen ini bukan hanya merujuk kepada nilai moral, tetapi prasyarat asas yang menentukan kelayakan seseorang untuk memimpin serta menjamin kemaslahatan rakyat. Dalam konteks demokrasi masa kini, proses pengundian boleh dianalogikan sebagai satu bentuk bai’ah iaitu pemberian mandat oleh rakyat kepada pemimpin yang dipilih. Dalam fiqh siyasah, bai’ah bukanlah ketaatan mutlak, sebaliknya ikatan yang menuntut pemimpin melaksanakan amanah dengan adil dan telus, manakala rakyat pula berhak menilai serta menasihati kepimpinan demi kepentingan umum.

Selain itu, prinsip syura menuntut setiap keputusan dibuat melalui perbincangan yang mengambil kira pandangan rakyat, golongan profesional, institusi agama dan generasi muda. Seorang pemimpin tidak seharusnya dinilai berdasarkan kepetahan retorik kempen semata, tetapi melalui integriti dan keupayaann menterjemahkan amanah rakyat kepada dasar yang memberi manfaat berterusan kepada masyarakat. Oleh itu, pemimpin yang terpilih wajib menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai panduan utama tadbir urus negeri.

Pembangunan pesat, amanah yang lebih besar
Negeri Johor Darul Ta’zim merupakan negeri terpadat kedua di Malaysia dengan anggaran lebih empat juta penduduk. Kedudukannya bersempadan dengan Singapura dan Indonesia serta rangkaian pelabuhan antarabangsa yang dimiliki telah menjadikannya nadi pertumbuhan ekonomi negara. Data rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar Johor telah melonjak kepada RM158.0 bilion pada 2024 berbanding RM148.6 bilion pada 2023 iaitu pertumbuhan sebanyak 6.4 peratus, tertinggi di seluruh negara dan mengatasi purata nasional 5.1 peratus.

Walau bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan tidak semestinya mencerminkan aspek kesejahteraan setiap lapisan masyarakat. Sebahagian rakyat masih berhadapan dengan cabaran kos sara hidup, akses kepada perumahan mampu milik, serta peluang pekerjaan berkualiti, khususnya dalam kalangan belia. Lantaran itu, konsep maslahah dalam politik Islam menuntut agar dasar kerajaan mengutamakan kepentingan awam dengan memaksimumkan manfaat dan meminimumkan kemudaratan kepada rakyat. Ini kerana kejayaan pemimpin diukur bukan sahaja melalui pertumbuhan ekonomi atau pelaburan, tetapi juga melalui peningkatan taraf hidup dan keadilan sosial yang dinikmati secara inklusif oleh seluruh Bangsa Johor.

Wasatiyyah di tengah realiti politik yang mencabar
Dalam lanskap politik semasa, PRN Johor 2026 dijangka berlangsung dalam suasana persaingan yang lebih dinamik berbanding tahun 2022. Dalam suasana ini, perbezaan pandangan politik merupakan lumrah yang perlu diurus secara matang dan berhemah. Setiap pihak wajar mengelakkan penggunaan naratif atau label berunsurkan agama yang boleh mengundang salah faham serta menjejaskan keharmonian masyarakat.

Dari perspektif Siyasah Syariyyah, prinsip wasatiyyah (kesederhanaan) menuntut budaya politik yang berteraskan kesederhanaan, hikmah dan adab dalam berbeza pandangan. Persaingan politik sewajarnya dipandu oleh hujah, dasar dan penyelesaian terhadap isu rakyat dan bukan retorik yang berpotensi mengeruhkan perpaduan atau menghakis kepercayaan masyarakat terhadap institusi politik dan agama.

Kematangan politik juga menuntut keutamaan kepada usaha membina negara berbanding persaingan yang bersifat emosi atau persepsi semata-mata. Ruang politik wajar dimanfaatkan untuk memperkukuh perbahasan berasaskan fakta, dasar dan penyelesaian konstruktif serta mengelakkan polemik reaktif. Pendekatan ini selari dengan tuntutan wasatiyyah dalam kerangka Siyasah Syariyyah, dan penting bagi memastikan ekosistem politik kekal matang serta berorientasikan kepentingan awam.

Menilai pemimpin, bukan sekadar parti
Realitinya, masyarakat hari ini semakin matang. Mereka menilai calon berdasarkan rekod tadbir urus dan ketelusan, bukan sekadar warna bendera atau retorik agama. Di sinilah konsep hifz al-maslahah dalam Islam menjadi garis panduan iaitu adakah dasar yang dibawa oleh calon benar-benar memelihara hak rakyat tanpa mengira kaum dan agama, ataupun sekadar retorik bermusim pilihan raya?

Sekilas pandang, satu pengajaran penting daripada PRN 2022 yang wajar direnung bersama ialah kadar keluar mengundi ketika itu hanya 54.92 peratus iaitu antara angka terendah dalam sejarah PRN Johor. Dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW telah mengingatkan bahawa setiap individu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dipimpinnya, yang mana ini adalah konsep yang tidak terhad kepada pemerintah semata, tetapi merangkumi setiap rakyat yang memegang amanah untuk memilih.

Tanggungjawab bersama
Pilihan Raya Negeri Johor 2026 wajar dilihat sebagai medan menguji kematangan demokrasi dalam memilih pemimpin yang benar-benar memenuhi tuntutan amanah. Dalam kerangka Siyasah Syariyyah, kemenangan dalam pilihan raya bukanlah matlamat akhir sebaliknya permulaan kepada tanggungjawab mentadbir secara adil, telus dan berintegriti, manakala kuasa hanyalah wasilah untuk berkhidmat demi kemaslahatan rakyat. Oleh yang demikian, pengundi dituntut membuat pilihan secara berilmu dan berhemah, sementara pemimpin yang diberi mandat pula wajib menterjemahkan amanah tersebut kepada dasar serta pentadbiran yang membawa manfaat kepada masyarakat.

Justeru, PRN Johor 2026 perlu dijadikan landasan untuk memperkukuh budaya politik yang matang, berteraskan amanah, kebertanggungjawaban dan nilai-nilai Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kemajuan politik tidak seharusnya diukur semata-mata melalui kemenangan atau pertukaran kuasa, tetapi melalui keupayaan kepimpinan mentadbir secara adil, berkesan dan berorientasikan kemaslahatan rakyat.

Oleh: Dr. Khairunesa Isa & Dr. Nur Zainatul Nadra Zainol,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast