Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah AS$130.63 bilion pada akhir Mei 2026, berbanding US$129.73 bilion pada akhir April 2026.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM) aset mata wang asing lain berjumlah AS$766.5 juta.

Bank pusat itu berkata, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing untuk 12 bulan akan datang, antara lainnya termasuk pembayaran balik berjadual pinjaman luar negeri oleh kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank BNM dalam mata wang asing, berjumlah AS$6.65 bilion.

“Kedudukan jualan hadapan bersih berjumlah AS$24.67bilion pada akhir Mei 2026, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang,” kata BNM dalam satu kenyataan hari ini.

BNM berkata, sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data itu tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.

Unjuran aliran masuk mata wang asing itu berjumlah AS$3.04 bilion untuk tempoh 12 bulan akan datang.

Sementara itu, satu-satunya aliran keluar bersih jangka pendek kontingensi bagi aset mata wang asing ialah jaminan kerajaan terhadap hutang luar negeri dalam mata wang asing yang perlu dibayar dalam tempoh satu tahun, yang berjumlah AS$846.4 juta.

“Tidak ada sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, serta tidak mempunyai kemudahan kredit dan kemudahan kredit tanpa syarat yang belum digunakan yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.

“Bank Negara Malaysia juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” kata bank pusat itu.

Secara keseluruhannya, BNM berkata, butiran terperinci rizab antarabangsa di bawah format Piawaian Penyebaran Data Khas Tabung Kewangan Antarabangsa menunjukkan bahawa, sehingga akhir Mei 2026, rizab antarabangsa Malaysia masih boleh digunakan. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast