Salah seorang kakitangan FPT memberi penerangan berkaitan Projek Pembinaan Kabin.

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh komitmennya terhadap agenda kelestarian menerusi Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat UMS 2026 yang bertemakan ‘Hutan dan Ekonomi’ sekali gus mengetengahkan peranan hutan sebagai pemacu Ekonomi Hijau yang mampan.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, tema tersebut membawa mesej yang amat signifikan dalam mendorong masyarakat untuk melihat hutan sebagai warisan ekologi yang perlu dipelihara dan aset strategik yang mampu
menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara secara lestari.

“Hutan yang diurus secara lestari berpotensi menjana rantaian ekonomi bernilai tinggi menerusi sektor eko pelancongan, hasil hutan bukan kayu serta perdagangan karbon yang kini menjadi antara agenda utama dunia.

“Justeru, UMS komited melahirkan masyarakat yang inovatif dan berdaya saing, yang mampu mengimbangi keperluan pembangunan material dengan kelestarian alam sekitar,” katanya ketika merasmikan majlis tersebut baru-baru ini.

Menurut beliau, komitmen UMS terhadap kelestarian dibuktikan menerusi pengekalan lebih 60 peratus kawasan hijau di dalam kampus, selain pelaksanaan Program Sinergi Hijau yang menyasarkan penanaman sekurang-kurangnya 1,000 pokok setiap tahun di ketiga-tiga kampus UMS iaitu di Kota Kinabalu, Labuan dan Sandakan.

“Usaha berterusan ini turut menyumbang kepada pengiktirafan UMS dalam penarafan Webometrics apabila universiti kini berada dalam kelompok 50 hingga 55 universiti terbaik dunia dari aspek kelestarian dan keterlihatan akademik,” katanya.

Tambah beliau, menerusi kepakaran Fakulti Perhutanan Tropika (FPT), UMS juga telah mengangkat beberapa kawasan hutan di seluruh Sabah sebagai living lab hasil kerjasama strategik bersama agensi kerajaan dan sektor swasta bagi
memperkukuhkan usaha pemuliharaan serta pemeliharaan sumber semula jadi.

Pada majlis tersebut, turut berlangsung majlis peletakan batu asas Projek Pembinaan Kabin di SFERA@UMS yang merupakan sumbangan Sedafiat Sdn. Bhd.

Mengulas mengenai Projek Pembinaan Kabin tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Sedafiat Sdn. Bhd., Datuk Ag. Buhtamam Ampuan Mahmun berkata, projek itu merupakan sebahagian daripada komitmen syarikat dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Projek ini dijangka memulakan pembinaan pada Ogos 2026 dan siap sepenuhnya menjelang Disember 2026.

“Setelah siap, ia akan digunakan bagi menyokong urusan pengurusan dan pentadbiran di bawah Fakulti Perhutanan Tropika,” katanya ketika ditemui di sini.

Bersempena majlis itu juga UMS telah memeterai Surat Niat (LoI) bersama Durios Valley Sdn. Bhd. yang ditandatangani oleh Dekan FPT, Profesor Dr. Normah Awang Besar, dan Pengarah (Government Relation) Durios Valley, Datuk Baharuddin
Haji Ahmad, serta melancarkan buku Living in Harmony with the Birds of UMS Campus hasil nukilan ahli akademik dari FPT, Profesor Madya Dr. Jephte Sompud. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast