Penduduk tempatan, Tham Ah Hwa, 90 bercakap kepada MalaysiaGazette ketika tinjauan di sekitar Puteri Wangsa, Tebrau. Foto FAREEZ FADZIL, 29 JUN 2026.

JOHOR BAHRU – “Saya dah undi sejak tahun 50-an. Ramai Perdana Menteri saya sudah lihat, tetapi bagi saya Datuk Seri Anwar Ibrahim memang yang paling ‘straight’.

Demikian luahan seorang pengundi veteran, Tham Ah Hwa, 90, yang ditemui MalaysiaGazette ketika sedang tekun membaca surat khabar sambil menghirup secawan kopi di sebuah kedai kopi di DUN Puteri Wangsa, di sini.

Mengakui dia penyokong tegar MCA sejak usia muda, Ah Hwa berkata, penilaiannya terhadap Anwar bukan dibuat atas sentimen politik, sebaliknya berdasarkan pengalaman lebih tujuh dekad mengikuti perkembangan politik negara dan menyaksikan sendiri kepimpinan setiap Perdana Menteri Malaysia.

“Anwar jenis jalan terus. Dia tidak pilih Melayu, Cina atau India. Semua dia layan sama. Itu sebab saya kata dia paling straight,” katanya.

Penduduk tempatan, Tham Ah Hwa, 90 bercakap kepada MalaysiaGazette ketika tinjauan di sekitar Puteri Wangsa, Tebrau. Foto FAREEZ FADZIL, 29 JUN 2026.

Katanya, beliau mula mengundi sejak era 1950-an dan masih mengikuti perkembangan politik tanah air sehingga hari ini dengan membaca surat khabar setiap hari.

Jelas Ah Hwa, sepanjang tempoh itu beliau melihat setiap Perdana Menteri mempunyai pendekatan tersendiri dalam memimpin negara.

Mengimbau era awal kemerdekaan, Ah Hwa berkata, beliau masih mengingati Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, yang disifatkannya sebagai seorang pemimpin berjiwa besar dan mempunyai semangat perjuangan yang tinggi.

“Bagi saya, Tunku orang yang sangat baik. Kehidupannya sederhana tetapi semangat perjuangannya kuat. Saya masih ingat bagaimana beliau berjuang untuk negara,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein, yang menurutnya banyak meletakkan asas pembangunan negara sehingga memberi manfaat kepada rakyat.

Katanya, Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn pula diingatinya sebagai seorang pemimpin yang tegas serta dihormati kerana ketegasannya dalam mentadbir negara.

“Setiap Perdana Menteri ada jasa masing-masing. Mereka memimpin mengikut zaman dan cabaran yang berbeza,” katanya.

Menurut Ah Hwa, rakyat perlu menilai seseorang pemimpin berdasarkan apa yang dilakukan, bukannya dipengaruhi persepsi atau dakwaan yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.

“Kita tengok dengan mata sendiri siapa bekerja. Kalau dia buat kerja untuk rakyat, kita kena bagi pengiktirafan,” katanya.

Dalam pada itu, Ah Hwa berkata, beliau turut melihat perubahan besar yang berlaku di Johor sejak sedekad lalu apabila banyak kawasan yang dahulunya dipenuhi kampung kini berubah menjadi bandar moden dengan pelbagai pembangunan baharu.

“Dulu banyak kampung, sekarang sudah banyak bangunan baharu. Johor semakin maju dan saya harap pembangunan ini diteruskan untuk generasi anak cucu,” katanya.

Walaupun usianya kini mencecah 90 tahun, Ah Hwa berkata beliau tetap akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana percaya setiap undi memainkan peranan penting dalam menentukan masa depan negeri dan negara. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.