JOHOR BAHRU – Setakat ini tiada trend kenaikan harga barangan keperluan harian yang luar biasa di seluruh negara ekoran ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, pemantauan berterusan yang dijalankan mendapati perubahan harga barangan masih berada pada paras normal dan dipengaruhi pelbagai faktor, termasuk keadaan cuaca serta situasi penawaran dan permintaan.
“Kita sentiasa memantau harga barangan keperluan harian. Memang harga ada turun naik, namun ia berlaku atas pelbagai sebab seperti cuaca dan bekalan.
“Setakat ini, kita tidak melihat sebarang trend kenaikan harga yang luar biasa,” katanya kepada pemberita selepas Pemeriksaan Ops Nominal di kilang pembungkusan roti SDS Food Manufacturing di sini, hari ini.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya terus menyalurkan aduan kepada KPDN sekiranya mendapati berlaku kenaikan harga yang tidak munasabah atau kekurangan bekalan barangan kawalan.
Menurutnya, pengguna tidak seharusnya hanya berkongsi maklumat dalam media sosial, sebaliknya membuat laporan rasmi kepada KPDN bagi membolehkan tindakan segera diambil.
“Kalau ada dakwaan tiada gula, minyak masak paket atau barangan kawalan lain di sesuatu premis, maklumkan terus kepada KPDN. Pegawai kami akan turun ke lapangan dengan segera untuk membuat pemeriksaan dan mengesahkan keadaan sebenar,” katanya.
Fuziah berkata, penguatkuasaan menerusi Ops Kesan 6.0 juga diteruskan bagi memantau perubahan harga barangan di pasaran serta memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah sehingga membebankan pengguna. – MalaysiaGazette















