Ahmad Dasuki (dua dari kiri) bersama pemenang utama Cabutan Simpan SSPN Baru Slay! Kategori Cabutan Slay 1, Heaw Zi Bin (tiga dari kiri) di kediaman beliau di Seremban Isnin lalu.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN terus komited memperkasa budaya menabung dalam kalangan masyarakat melalui produk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Selaras dengan usaha tersebut, pelbagai inisiatif dan kempen promosi dilaksanakan secara berterusan bagi menggalakkan amalan menabung termasuk penganjuran Kempen Cabutan Prime Bonanza.

Kempen itu sebagai tanda penghargaan PTPTN kepada para pendeposit yang terus komited memilih Simpan SSPN Prime sebagai pilihan utama simpanan sekali gus memupuk amalan menabung secara berterusan demi masa depan pendidikan generasi Malaysia.

Kempen Cabutan Prime Bonanza terbahagi kepada dua kategori cabutan untuk disertai oleh pendeposit Simpan SSPN Prime iaitu kategori Platinum dan Kategori Gold.

Untuk menyertai kempen, pendeposit hanya perlu membuka atau membuat penambahan simpanan dalam tempoh kempen.

Setiap simpanan bersih RM100 bagi Simpan SSPN Prime akan mendapat 10 cabutan.

Menariknya, pengguna yang membuat simpanan melalui myPTPTN atau potongan gaji atau debit terus akan mendapat cabutan berganda sebanyak 20 cabutan.

Pemenang utama, Cabutan WOW! Simpan SSPN Plus 2026 Kategori Cabutan WOW! Plus Siri 1, Iun Ying Chian (tiga dari kiri) bergambar bersama Ahmad Dasuki (tiga dari kanan) semasa sesi penyampaian hadiah di Selangor pada Selasa lalu.

Pendeposit perlu memastikan akaun kekal aktif (akaun tidak ditutup) dan tidak boleh membuat pengeluaran atau pindahan simpanan sepanjang tempoh pengekalan bermula 1 November 2026 sehingga 31 Januari 2027 daripada mana-mana akaun yang didepositkan dalam tempoh kempen.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, kempen Cabutan Prime Bonanza merupakan manifestasi komitmen berterusan PTPTN dalam menghargai kepercayaan dan kesetiaan para pendeposit yang memilih Simpan SSPN Prime sebagai instrumen simpanan pendidikan.

“Kempen ini bukan sahaja menawarkan ganjaran menarik kepada para pendeposit malah menjadi pemangkin untuk menggalakkan lebih ramai ibu bapa dan masyarakat membudayakan amalan menabung secara konsisten sebagai persediaan awal bagi membiayai pendidikan tinggi anak-anak,” katanya dalam kenyataan yang sama.

PTPTN turut meraikan pemenang utama Cabutan WOW! Simpan SSPN Plus 2026 dan Kempen Simpan SSPN Baru Slay!.

Pemenang bagi hadiah utama Kategori Cabutan WOW! Plus Siri 1 memenangi hadiah wang tunai bernilai RM20,000 dan pemenang utama kategori Cabutan Slay 1 memenangi sebuah motosikal Yamaha NVX 155.

Sesi penyampaian hadiah telah diadakan di kediaman pemenang yang disempurnakan oleh Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Simpan SSPN merupakan produk simpanan PTPTN yang menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat.

Antaranya ialah pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, simpanan dijamin Kerajaan dan patuh syariah.

Sempena Belanjawan 2025, kerajaan telah bersetuju kriteria pemberian Geran Sepadan ke atas simpanan dalam akaun Simpan SSPN Prime bagi pelajar yang melanjutkan pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) diperluaskan kepada keluarga berpendapatan melebihi RM4,000 sehingga RM6,000 bagi tempoh dua tahun di bawah Inisiatif Geran Padanan Ihsan (GAPAI).

Pendeposit yang layak kini boleh memohon geran sepadan sehingga RM5,000 untuk satu keluarga.

Maklumat lanjut berkenaan Simpan SSPN boleh diperoleh melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my atau aplikasi myPTPTN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast