Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong

JOHOR BAHRU – Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menafikan dakwaan Perikatan Nasional (PN) membantu Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini dan menyifatkannya sebagai tidak berasas.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, empat kerusi ditandingi MCA bawah tiket BN iaitu Jementah, Paloh, Layang Layang dan Stulang menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan BN, Pakatan Harapan (PH) dan PN.

Jelasnya, pertandingan tiga penjuru tersebut sudah cukup untuk menjawab dakwaan PH-DAP bahawa ‘PN bantu BN’.

“Semalam, saya hadir ke ceramah di N02 Jementah untuk berkempen bagi calon BN, See Ann Giap yang menentang DAP dan Pas. Jika MCA diberi laluan mudah oleh PN, mengapa calon kita perlu lawan PH dan PN?” soalnya dalam satu kenyataan.

Ceramah itu dihadiri Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Menteri Besar Johor serta calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap, Datuk Zahari Sarip.

Ka Siong turut menolak dakwaan calon MCA yang tewas boleh dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan atau dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Menurutnya, dakwaan berkenaan hanya rekaan kerana tidak selaras dengan Perlembagaan Negeri Johor.

“Menyebarkan cerita dongeng sedemikian mungkin kelihatan menarik dan sensasi, tetapi ia tidak dapat mengubah fakta dan realiti,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast