Hishamuddin Zaizi (tengah) bersama Syed Hamid (dua dari kiri) semasa merasmikan Persidangan Inovasi Halal dan Keterjaminan Makanan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Persidangan Inovasi Halal dan Keterjaminan Makanan merupakan penghargaan kepada Dasar Halal Negara yang akan dibentangkan oleh Kerajaan tidak lama lagi.

Setiausaha Agung Majlis Ekonomi Halal (MEH), Dr Helmi Ibrahim berkata, persidangan yang sama adalah tanda sokongan rakyat terhadap niat kerajaan dalam memperkasakan sektor halal.

“Persidangan merupakan platform penting dalam memperkukuhkan agenda pembangunan ekonomi halal negara melalui pendekatan inovasi, teknologi, keterjaminan makanan dan kerjasama strategik antara sektor kerajaan, industri, akademia serta masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Dr Helmi Ibrahim

MEH dengan kerjasama strategik MIMOS Holdings menganjurkan persidangan berkenaan sempena Sambutan Maal Hijrah 1448 di Auditorium MIMOS Technology Park Malaysia, Bukit Jalil di sini baru-baru ini.

Majlis telah disempurnakan oleh Tengku Datuk Dr Hishamuddin Zaizi Azman Shah Al Haj di samping menampilkan ucaptama oleh Pengerusi Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Datuk Mustaffa Kamil Ayub.

Pada majlis yang sama, bekas menteri, Tan Sri Syed Hamid Albar dan Dame Matron Dr Hajah Ramziah Ahmad adalah tokoh yang diberi penganugerahan sempena Maal Hijrah.

Syed Hamid Albar adalah tokoh misi kemanusiaan khususnya dalam peranannya sebagai Duta Khas OIC yang menangani isu kaum Rohingya manakala Ramziah adalah wanita Malaysia pertama dianugerahkan dengan darjah kebesaran British yang membawa gelaran Dame.

Persidangan itu turut menjadi titik permulaan kepada pelaksanaan Tahun Inovasi Halal dan Keterjaminan Makanan 2026–2027.

Helmi berharap dapatan persidangan akan dirangkumkan dalam memorandum kepada kerajaan agar dijadikan input sebagai program dan projek di bawah Dasar Halal Negara, Dasar Keterjaminan Makanan Negara dan Rancangan Malaysia ke 13.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast