Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan meysuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara berhubung Dasar Gaji Progresif di Putrajaya. (Gambar fail).

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM64.07 juta insentif tunai telah disalurkan kepada 4,025 majikan sektor swasta yang menyertai Dasar Gaji Progresif (DGP) setakat 5 Jun lalu sekali gus memberi manfaat kepada 51,363 pekerja tempatan.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berkata, inisiatif di bawah kerangka Ekonomi Madani itu bertujuan memperkasakan pekerja mahir menerusi peningkatan tangga gaji secara progresif.

Sektor perdagangan borong dan runcit termasuk pembaikan kenderaan bermotor serta motosikal merekodkan penyertaan tertinggi sebanyak 26.7 peratus diikuti sektor pembuatan (15.7 peratus), aktiviti profesional, saintifik dan teknikal (11.1 peratus), pendidikan (7.4 peratus) serta penginapan dan perkhidmatan makanan (6.9 peratus).

“Dari segi saiz syarikat, majikan kategori kecil mencatatkan penyertaan tertinggi dengan 50.2 peratus, diikuti syarikat besar dan sederhana masing-masing 18.4 peratus serta syarikat mikro sebanyak 13.1 peratus,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen di sini hari ini.

Kementerian itu menjawab soalan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) yang ingin mengetahui tahap pematuhan sektor swasta terhadap pelaksanaan DGP serta keberkesanan insentif tersebut dalam meningkatkan gaji pekerja mahir.

Bagi kumpulan profesional, median gaji pokok meningkat RM350 daripada RM2,900 kepada RM3,250, iaitu kenaikan 12.1 peratus, manakala purata gaji pokok naik RM364.36 kepada RM3,295.10 berbanding RM2,930.74 sebelum ini.

Sementara itu, median gaji pokok bagi kumpulan juruteknik dan profesional bersekutu meningkat RM250 daripada RM2,350 kepada RM2,600 atau 10.6 peratus, manakala purata gaji pokok meningkat RM294.38 daripada RM2,557.35 kepada RM2,851.72. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast