Tertuduh kedua bersama peguam Donald Selvam.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini melepaskan dan membebaskan dua lelaki daripada pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan parang selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan satu kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.

Hakim Mazuliana Abdul Rashid membuat keputusan itu selepas mendapati keseluruhan keterangan yang dikemukakan pihak pendakwaan tidak mencukupi untuk mengaitkan kedua-dua orang kena tuduh (OKT) dengan kesalahan yang dipertuduhkan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan menggunakan dua bilah parang terhadap seorang lelaki di sebuah pejabat di Jalan Batu Muda Tambahan 5, Sentul pada kira-kira pukul 6.40 petang, 11 Mac 2023.

Dalam kejadian itu, mangsa didakwa mengalami kerugian membabitkan wang tunai RM109,648, sebuah komputer riba jenama HP dan sebuah telefon bimbit Redmi berwarna merah.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Mazuliana berkata, mahkamah menerima pihak pendakwaan berjaya membuktikan suatu kejadian rompakan telah berlaku seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan selain berpuas hati kejadian itu dilakukan secara berkumpulan dan melibatkan penggunaan parang.

Bagaimanapun, katanya, pembuktian mengenai kejadian rompakan semata-mata tidak memadai kerana pihak pendakwaan masih perlu membuktikan bahawa kedua-dua OKT merupakan antara individu yang melakukan jenayah berkenaan.

Menurut beliau, mahkamah telah meneliti keseluruhan keterangan yang dikemukakan termasuk pengecaman saksi, keputusan kawad cam, rakaman kamera litar tertutup (CCTV), tindakan tangkapan, barang rampasan, penemuan di bawah Seksyen 27 Akta Keterangan 1950, selain keterangan saksi-saksi serta pegawai penyiasat.

“Setiap kategori keterangan itu mempunyai nilai pembuktian tersendiri. Namun, apabila dinilai secara keseluruhan, ia masih gagal membentuk satu rantaian pembuktian yang lengkap bagi menghubungkan kedua-dua tertuduh dengan kesalahan yang dipertuduhkan.

“Mahkamah tidak berpuas hati bahawa keseluruhan keterangan yang dikemukakan telah mencapai tahap yang membolehkan dapatan dibuat bahawa kedua-dua OKT merupakan antara pelaku rompakan tersebut.

”Beban untuk membuktikan kes terhadap kedua-dua OKT kekal terletak di bahu pihak pendakwaan,” ujarnya.

Selepas membuat penilaian maksimum terhadap keseluruhan kes pendakwaan, Mazuliana mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan satu kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.

Beliau turut memutuskan bahawa sekiranya kedua-dua tertuduh memilih untuk berdiam diri pada akhir kes pendakwaan, mahkamah tidak bersedia untuk mensabitkan mereka.

Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri mengikut Seksyen 180 Kanun Prosedur Jenayah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Mohd Radzuan, manakala tertuduh pertama diwakili peguam Renalyn Rivera dan tertuduh kedua diwakili Donald Selvam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast