JOHOR BAHRU – Tindakan menghalang Pengarah Eksekutif Gabungan Bagi Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), Asraf Sharafi masuk ke negeri itu adalah bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, kerajaan Sabah dan Jabatan Imigresen Sabah wajar memberi kebenaran atas dasar kemanusiaan.
“Asraf telah tidak dibenarkan memasuki Sabah semalam, empat hari sebelum berlangsungnya Perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 3.0 Anti-Rasuah pada hujung minggu ini.
“Saya memahami dan menyedari bahawa kerajaan Sabah mempunyai kuasa imigresen di bawah Akta Imigresen dan juga di dalam Perjanjian Malaysia 1963 untuk mengeluarkan Notis Amaran Sabah (NAS) terhadap Asraf Sharafi bagi menghalang beliau memasuki Sabah.
“Rayuan saya kepada pihak berkuasa imigeresen Sabah supaya membenarkan Asraf Sharafi memasuki Sabah atas beberapa alasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hassan berkata, atas sebab kemanusiaan kerana Asraf ingin pulang kepada isteri dan anaknya yang tinggal di Sabah.
Katanya, Asraf juga bukan seorang penjenayah yang membahayakan keselamatan Sabah dan boleh dirujuk Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan bercakap dan berhimpun kepada warganegara.
Tindakan pihak berkuasa imigresen Sabah berkemungkinan agak keterlaluan dan tidak berpatutan sehingga penggunaan NAS yang bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.
“Sebagai seorang ahli Parlimen Malaysia saya merayu Ketua Menteri Sabah menggunakan jasa baiknya supaya membenarkan Asraf Sharafi memasuki Sabah untuk menemui anak isterinya,” katanya.- MalaysiaGazette
















