Marina Ibrahim

JOHOR BAHRU – Marina Ibrahim meluahkan kekecewaan terhadap naratif berulang menjelang pilihan raya yang didakwanya sering dikaitkan dengan isu sama, khususnya berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Skudai itu mendakwa, isu tersebut sering digunakan sebagai bahan kempen dengan slogan seperti “Undi BN = selamatkan Najib”, walaupun menurutnya perbincangan politik seharusnya memberi tumpuan kepada isu rakyat.

“Penat. Penat mendengar perkara yang sama berulang kali. Setiap kali pilihan raya semakin hampir, isu Najib pasti akan dimainkan semula. Cakap pasal benda lain lahh..

“Undi BN = selamatkan Najib,” luahnya menerusi media sosial.

Marina mengakui beliau hilang kepercayaan terhadap politik susulan perbualan dengan seorang pemimpin DAP pada 12 April 2026 di Skudai, Johor, yang menurutnya menyentuh soal kemungkinan pengampunan Najib serta implikasinya terhadap sokongan pengundi.

Bekas ADUN DAP itu turut mendakwa antara perkara yang dibincangkan termasuk pandangan bahawa pengampunan Najib hanya wajar dipertimbangkan selepas pilihan raya bagi mengelakkan kesan terhadap sokongan politik, khususnya dalam kalangan pengundi tertentu.

“Perbualan pada 12 April 2026 itulah yang menjadi titik yang hilangkan keyakinan aku. Pada hari itu, aku sendiri mendengar seorang pemimpin yang sebelum ini lantang mengkritik isu Najib berkata kepada aku: “Tak salah Najib diberikan pengampunan dan mendapat tahanan rumah kerana jasa yang pernah dia lakukan.

“Kita harap Najib hanya mendapat pengampunan selepas Pilihan Raya Umum. Kalau diberi pengampunan sebelum pilihan raya, kepercayaan masyarakat terutama cina terhadap kita akan terjejas,” kongsi beliau.

Dakwa Marina pemimpin itu adalah individu lantang mengkritik isu melibatkan Najib.

Marina berkata, DAP sememangnya mengetahui pendirian UMNO dan memahami kemungkinan perkara ini berlaku, walaupun ketika itu belum ada siapa pun mengetahui bila Pilihan Raya Negeri akan diadakan.

Disebabkan itulah isu tersebut tidak dimainkan secara terbuka.

Dalam hantaran itu, Marina turut menyifatkan sekiranya ada pemimpin DAP yang sanggup meletakkan jawatan jika Najib menerima pengampunan terlalu awal, namun pada masa yang sama masih menyatakan sokongan kepada Kerajaan Persekutuan sedia ada, ia merupakan satu persembahan politik.

Ini kerana, pemimpin parti tersebut tahu ketika itu Pilihan Raya Umum sudah tidak jauh lagi dan peletakan jawatan menteri tidak lagi memberi kesan besar kepada parti, namun mampu memberi gambaran bahawa mereka masih mempunyai “prinsip”.

“Semuanya dilakukan demi mengelakkan kemarahan pengundi seperti yang berlaku di Sabah,” ujarnya.

Menurut Marina, selama empat tahun semua pihak mengetahui pendirian UMNO mengenai isu Najib.

Sekiranya DAP benar-benar menganggap perkara ini sebagai satu garis merah yang tidak boleh dikompromi, mengapa selama tempoh itu masih mengharapkan kerjasama dengan BN diteruskan.

Apatah lagi, Johor sejak awal lagi bukanlah sebuah kerajaan perpaduan.

“Jika prinsip benar-benar tidak boleh dikompromi, DAP sepatutnya sudah memulakan pemisahan dengan UMNO di Johor sejak dahulu lagi,” tegasnya.

Katanya, perbualan tersebut juga menyentuh strategi politik dan pengurusan persepsi dalam kalangan masyarakat menjelang pilihan raya, termasuk usaha memulihkan keyakinan pengundi.

Beliau turut mempersoalkan pendirian beberapa pihak politik yang disifatkannya berubah mengikut keadaan, termasuk dalam isu kerjasama politik antara parti di peringkat negeri.

“Adakah ini soal prinsip atau keperluan politik?” soalnya.

Menurutnya, beliau juga berdepan pelbagai kritikan termasuk dakwaan tidak matang dalam politik, namun menegaskan pendiriannya terbentuk selepas melalui pengalaman sendiri dalam politik dan masyarakat.

Dakwanya, hubungan dengan komuniti menjadi antara faktor utama yang membuatkan dirinya lebih selesa bekerja secara akar umbi bersama pasukan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk peniaga kecil, ibu tunggal dan sukarelawan.

Dalam masa sama, beliau mendakwa, terdapat pemimpin yang lebih memberi tumpuan kepada isu jawatan parti dan pembahagian kuasa berbanding permasalahan rakyat.

Beliau turut mendakwa wujud keadaan yang disifatkannya sebagai tidak konsisten dalam politik, apabila sesuatu pendirian berubah mengikut siapa yang melaksanakannya.

“Dahulu apabila orang lain melakukan perkara yang sama, kita mengatakan ia salah. Hari ini apabila kita sendiri  melakukannya…Tiba-tiba ia menjadi betul?

“Atau sebenarnya prinsip berubah mengikut siapa yang melakukannya? Kalau begitu… Kalau begitu, bukankah itu double standard?,” katanya.

Marina menegaskan kebimbangan utamanya bukan terletak pada parti mana yang dipilih rakyat, sebaliknya pada perubahan pendirian politik yang sering dijustifikasikan atas nama kepentingan lebih besar.

“Tetapi bagi aku, apa yang dipanggil “kepentingan yang lebih besar” itu sering kali hanyalah sebuah naratif yang dibina oleh ahli politik. Naratif yang menggunakan rasa keadilan, emosi dan kepercayaan rakyat supaya mereka percaya bahawa itulah satu-satunya jalan yang betul.

“Hakikatnya…Buah catur itu ialah rakyat. Yang menggerakkan buah catur pula ialah sesetengah ahli politik yang mencari kepentingan tertentu,” katanya penuh makna. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast