Jalex Lee menziarah pesakit yang menjalani rawatan di Muhibbah Dialysis Centre di sini

SEGAMAT – Agenda pemerkasaan kesihatan rakyat terus menjadi fokus utama bagi calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN N03 Pemanis, Jalex Lee En Xiang.

Jalex bertekad memperkukuhkan kemudahan kesihatan di kawasan itu bagi memastikan penduduk, khususnya warga emas dan pesakit kronik, mendapat akses rawatan yang lebih mudah dan berkualiti.

Beliau berkata, aspek kesihatan tidak boleh dipandang ringan kerana ramai penduduk di kawasan luar bandar masih sukar mendapat rawatan segera, selain perlu menanggung kos dan masa perjalanan yang panjang untuk mendapatkan perkhidmatan tertentu.

Katanya, aspek penyelenggaran perlu dititik beratkan bagi memastikan semua kemudahan itu dapat digunakan oleh rakyat.

“Antara keutamaan yang akan diberi perhatian ialah memastikan ambulans di klinik kesihatan sentiasa berada dalam keadaan baik menerusi penyelenggaraan berkala supaya dapat digunakan dengan segera ketika berlaku kecemasan.

“Ambulans adalah nadi kepada perkhidmatan kecemasan. Kita mahu memastikan ia sentiasa bersedia beroperasi agar pesakit tidak berdepan kelewatan mendapatkan rawatan akibat masalah teknikal,” katanya. 

Jelasnya, apabila berlaku kecemasan, setiap saat amat berharga malah katanya yang tidak diselenggara dengan baik boleh menjadi punca kelewatan menyelamatkan nyawa.

Tambanya beliau akan mengadakan lawatan ke hospital dan fasiliti kesihatan bagi melihat sendiri perkembangan fasiliti itu di sini dalam masa terdekat.

“Saya mahu memastikan kemudahan ini sentiasa berada pada tahap terbaik demi keselamatan penduduk Pemanis,” ketika ditemui semasa kempen di DUN Pemanis,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Selain itu, Jalex berkata beliau turut berhasrat menggalakkan kerjasama strategik antara agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta serta pertubuhan kebajikan bagi merealisasikan penubuhan pusat dialisis di kawasan Pemanis.

Menurut beliau, kemudahan itu amat diperlukan memandangkan pesakit buah pinggang di kawasan berkenaan terpaksa berulang-alik ke bandar lain beberapa kali seminggu untuk menjalani rawatan.

“Rawatan dialisis memerlukan komitmen yang tinggi daripada pesakit. Jika kemudahan ini dapat diwujudkan lebih dekat dengan komuniti, ia bukan sahaja mengurangkan beban perjalanan, malah meningkatkan kualiti hidup mereka,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, usaha memperkukuhkan sektor kesihatan tidak hanya tertumpu kepada pembangunan infrastruktur semata-mata.

Sebaliknya ia melibatkan program kesedaran kesihatan, saringan penyakit tidak berjangkit, kempen pendermaan darah serta pemeriksaan kesihatan percuma secara berkala dengan kerjasama pelbagai pihak.

Justeru Jalex berharap usaha berkenaan mampu mewujudkan sistem penjagaan kesihatan komuniti yang lebih menyeluruh dan inklusif, selari dengan keperluan penduduk Pemanis yang semakin berkembang.

Pada kempen PRN Johor, Jalex tampil menggariskan lima tekad utama yang disifatkan sebagai pelan tindakan menyeluruh untuk mentransformasikan Pemanis menjadi kawasan yang lebih maju, berdaya saing dan mesra pelaburan.

Jalex yang bertanding sebagai calon nombor 3 berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN), Anuar Abd. Manap dan calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Ariventharan Anandan. 

PRN Johor dijadualkan berlangsung pada 11 Julai ini manakala pengundian awal akan diadakan pada 7 Julai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast