KUALA LUMPUR – “Menjijikkan!”.
Itulah reaksi orang ramai terhadap tindakan seorang lelaki warga asing yang didakwa kencing di tempat awam tanpa menghiraukan kehadiran orang sekeliling.
Dalam rakaman video berdurasi 17 saat itu, lelaki berkenaan dipercayai kencing dalam keadaan berdiri di bahagian tepi eskalator stesen Transit Aliran Massa (MRT) Titiwangsa.
Rakaman kejadian itu yang tular di media sosial sejak baru-baru ini mencetuskan kemarahan netizen, malah ramai menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tidak beradab dan mencemarkan imej kawasan berkenaan.
Sementara itu, Rapid KL dalam kenyataan hari ini menggesa orang ramai segera melaporkan sebarang salah laku yang berlaku di stesen dan dalam tren.
Katanya, langkah tersebut bagi memastikan memudahan pengangkutan awam kekal bersih, selamat serta selesa digunakan semua penumpang.
“Jika ternampak aktiviti yang salah dan mencurigakan (kencing di tempat tak sepatutnya, makan dan minum dalam tren, berkelakuan sumbang), laporkan segera kepada petugas stesen, Polis Bantuan atau hubungi talian bantuan kami.
“Kerjasama anda amat diharapkan dalam memastikan kemudahan dapat digunakan dengan selesa oleh semua penumpang,” katanya dalam hantaran di media sosial. – MalaysiaGazette
















