MUAR – Isu lambakan nanas yang menjejaskan pendapatan pekebun menjadi antara tuntutan utama penduduk yang mahu diberi perhatian oleh calon yang bakal dipilih mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Pekebun, Md Nasuha Ahmad, 50, berkata, kerajaan menerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) perlu tampil dengan penyelesaian lebih berkesan bagi membantu memasarkan hasil tanaman ketika musim lambakan.
Menurutnya, masalah itu sering berlaku di kawasan penanaman nanas sekitar Ayer Hitam termasuk di Parit Tengah dan beberapa kampung berhampiran apabila hasil tuaian berlaku serentak.

“Kalau musim buah banyak, memang susah nak jual. Pernah harga jatuh sehingga dua atau tiga puluh sen sebiji. Ada yang terpaksa jual bawah kos sebab tak ada pasaran.
“Kalau pemborong ambil pun tak banyak jadi yang selebihnya nak dipasarkan ke mana? Sebab itu kita harap LPNM atau kerajaan cari satu mekanisme supaya hasil pekebun dapat dipasarkan dan tidak berlaku lambakan setiap kali musim tuaian.
“Saya harap calon Pakatan Harapan (PH) Md Ysahrudin Kusni yang pernah memenangi kerusi ini pada 2018 dapat meneruskan cadangan ini yang mungkin tidak sempat dilaksakakan sebelum ini jika dipilih kelak,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Md Nasuha berkata, selain nanas, kerajaan juga perlu membantu memastikan pasaran hasil pertanian lain termasuk kelapa sawit terus stabil supaya pendapatan pekebun tidak terjejas.
Sementara itu, Aidil Dahlan, 30, pula berharap calon yang dipilih memberi perhatian terhadap penyelenggaraan padang awam di Bukit Naning yang menjadi lokasi utama aktiviti riadah golongan muda.

Katanya, keadaan padang itu masih kurang memuaskan walaupun pernah menerima perhatian sebelum ini dan memerlukan naik taraf supaya lebih selesa digunakan.
“Tak perlu kompleks sukan besar, cukup kemudahan padang yang baik kerana kalau padang itu cantik dan selesa, sudah tentu lebih ramai belia datang bersukan dan beriadah,” katanya.
Aidil turut berharap isu kehadiran warga asing di kawasan perindustrian berhampiran Batu 5 diberi perhatian pihak berkuasa.
Katanya, setiap hujung minggu terutama Ahad, kawasan berkenaan menjadi tumpuan pekerja asing sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk yang mahu pemantauan dipertingkatkan.
“Saya bukan kata tak boleh ada warga asing tetapi biarlah kehadiran mereka dipantau dan dikawal dengan baik supaya keadaan lebih teratur,” katanya.

Bagi Mohd Shahrulnizam Ngadiman, 31, kerajaan baharu diharap dapat memperkenalkan lebih banyak bantuan kepada perusahaan mikro dan industri kecil serta sederhana (IKS) termasuk bantuan khas, promosi perniagaan dan inisiatif mengurangkan kos operasi.
Katanya, kenaikan harga barang menyebabkan peniaga sukar mengekalkan harga jualan kerana perlu mengambil kira kemampuan penduduk kampung.
“Harga barang memang naik turun tetapi kita berniaga di kawasan kampung, tak boleh sesuka hati naikkan harga. Sebab itu kami harap ada bantuan khas kepada peniaga kecil, walaupun tidak banyak sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban.
“Selain bantuan kewangan, kami juga harap kerajaan bantu dari segi promosi perniagaan kecil supaya lebih ramai pelanggan datang,” katanya. – MalaysiaGazette
















