KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia memandang serius data daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bahawa sebanyak 32,800 unit rumah siap bernilai RM16.4 bilion masih belum dijual sehingga suku pertama tahun 2026.
Ketua Penerangannya, Wendy Subramaniam berkata, keadaan ini menunjukkan wujud ketidaksepadanan yang semakin ketara antara bekalan perumahan dengan kemampuan sebenar rakyat untuk memiliki kediaman.
Katanya, apa yang lebih membimbangkan ialah ketika puluhan ribu unit rumah masih belum mendapat pembeli, ramai rakyat Malaysia, khususnya golongan muda dan pembeli rumah pertama terus berdepan kesukaran untuk memiliki kediaman sendiri.
Jelas beliau, masalah sebenar bukanlah kekurangan rumah, tetapi kekurangan rumah yang benar-benar mampu dimiliki oleh rakyat mengikut tahap pendapatan mereka.
“Data KPKT menunjukkan sebanyak 15,400 unit ataupun 46.9 peratus daripada rumah tidak terjual tersebut berharga RM300,000 dan ke bawah. Dalam masa yang sama, kadar pemilikan rumah bagi isi rumah berpendapatan rendah telah mencapai 76.3 peratus.
“Angka-angka ini menunjukkan bahawa cabaran perumahan hari ini jauh lebih kompleks daripada sekadar membina lebih banyak rumah. Kerajaan perlu menilai semula sama ada jenis, lokasi dan harga rumah yang dibangunkan benar-benar memenuhi permintaan pasaran semasa,” katanya hari ini.
Lantaran itu, tambah beliau, timbul persoalan, adakah perumahan di Malaysia dibina sememangnya untuk rakyat Malaysia, atau ia dibina untuk menarik pelabur asing.
Walaupun Malaysia sememangnya mengalu-alukan pelaburan asing, namun pembangunan perumahan perlu mencapai keseimbangan antara menarik pelaburan dan memastikan kebajikan serta peluang pemilikan rumah untuk rakyat tempatan terus menjadi keutamaan.
Sehubungan itu, Gerakan menggesa kerajaan mengkaji semula dasar perumahan mampu milik berdasarkan pendapatan isi rumah dan kemampuan mengikut wilayah, bukannya bergantung kepada pendekatan yang seragam dan memperkukuhkan insentif kepada pembeli rumah pertama supaya lebih ramai rakyat mampu memiliki kediaman sendiri.
Selain itu, meningkatkan penyelarasan antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam merancang pembangunan perumahan; dan melaksanakan kajian pasaran serta perancangan perumahan yang lebih menyeluruh dan berasaskan data sebelum sesuatu projek diluluskan bagi mengelakkan lebihan bekalan yang berterusan.
Wendy menambah, dasar perumahan negara perlu berpaksikan keperluan rakyat, bukannya hanya mengejar sasaran pembinaan atau nilai pelaburan semata-mata.
Ia kerana, kejayaan sektor perumahan bukan diukur melalui jumlah unit yang dibina, tetapi melalui jumlah rakyat Malaysia yang benar-benar mampu memiliki sebuah rumah. – MalaysiaGazette















