JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik menggesa tindakan serius terhadap isu penempatan warga asing di Kampung Kangkar Tebrau yang didakwa meresahkan penduduk.
Beliau berkata demikian selepas meninjau sendiri Kampung Kangkar Tebrau susulan laporan eksklusif MalaysiaGazette yang menyorot kebimbangan penduduk terhadap kebanjiran komuniti Rohingnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Malah lebih meresahkan penduduk keadaan persekitaran, termasuk isu rumah-rumah lama yang disewakan kepada warga asing kemudian digunakan sebagai ‘pusat judi nombor ekor’ selain longgokan sampah dan masalah banjir yang berlarutan.
Selain isu itu, beliau turut menekankan perlunya penyelesaian menyeluruh bagi mengatasi masalah banjir di kawasan berkenaan.
Maszlee berkata, hasil tinjauan mendapati terdapat sekurang-kurangnya dua faktor utama dikenal pasti menjadi punca banjir di kampung itu.
“Alhamdulillah, tadi kita telah pergi meninjau sendiri kawasan ini. Antara yang kita dapati ialah keadaan parit yang tidak diselenggara sehingga menyebabkan air mudah naik ketika hujan.
“Selain itu, keadaan sungai yang lebih tinggi daripada kawasan penempatan penduduk turut menyebabkan air melimpah masuk ke kawasan rumah,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.
Menurut bekas Menteri Pendidikan itu, penyelesaian terhadap masalah berkenaan tidak boleh dilakukan secara berasingan, sebaliknya memerlukan kerjasama semua agensi berkaitan.
“Masalah ini memerlukan penyelesaian yang holistik. Perlu ada kerjasama antara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi berkaitan supaya penyelesaian yang dilaksanakan benar-benar berkesan,” ujarnya.
Mengulas isu kebersihan yang dikaitkan dengan penempatan warga asing di kampung berkenaan, Maszlee berkata, beliau mengikuti laporan MalaysiaGazette mengenai perkara itu, namun berpandangan ia bukan penyebab terbesar kepada masalah banjir.
“Kalau berkaitan dengan sampah dan sebagainya, mungkin ada kaitan dengan penempatan warga asing seperti yang dilaporkan MalaysiaGazette. Perkara itu memerlukan usaha mendidik mereka supaya sama-sama menjaga kebersihan kawasan.
“Bagaimanapun, saya tidak fikir itu merupakan penyebab terbesar kepada banjir kerana terdapat faktor lain yang lebih utama dan perlu diberikan perhatian segera,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, ramai penduduk asal Kampung Kangkar Tebrau telah dipindahkan ke rumah pangsa berhampiran selepas banjir besar yang pernah melanda kawasan itu sebelum ini.
Katanya, masih terdapat rumah-rumah lama yang diduduki atau disewakan kepada pihak lain, sekaligus menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan penduduk setempat.
Ditanya mengenai kebimbangan penduduk terhadap penyewaan rumah kepada warga asing termasuk etnik Rohingya, Maszlee berkata, perkara itu perlu diteliti secara serius tanpa membuat andaian terhadap mana-mana pihak.
“Kalau mereka berada di sini mengikut undang-undang dan kewujudan mereka tidak mengganggu keharmonian masyarakat, kita masih boleh menerimanya.
“Tetapi jika ia menjejaskan keharmonian penduduk atau melibatkan pelanggaran undang-undang, maka perkara itu perlu ditangani dengan serius oleh pihak berkuasa.
“Kami juga berjanji akan memberikan kerjasama sepenuhnya sekiranya diberikan mandat untuk membantu menyelesaikan isu ini secara berhemah dan mengikut lunas undang-undang,” jelasnya.
MalaysiaGazette melaporkan keluhan penduduk Kampung Kangkar Tebrau yang mendakwa keadaan kampung itu semakin membimbangkan berikutan isu kebersihan, longgokan sampah, rumah-rumah lama yang disewakan kepada warga asing termasuk etnik Rohingya serta masalah banjir yang berulang setiap kali hujan lebat.
Penduduk menggesa pihak berkuasa mempertingkat pemantauan terhadap penempatan warga asing, di samping menyelenggara sistem perparitan dan sungai bagi mengatasi masalah banjir serta memastikan keselamatan, kebersihan dan keharmonian komuniti setempat terus terpelihara. – MalaysiaGazette
















