KLUANG – Perikatan Nasional (PN) berhasrat untuk merancakkan lagi sektor perkilangan dan industri di Dewan Undangan Negeri (DUN) N30 Paloh bagi memastikan golongan belia tidak perlu lagi berhijrah ke luar untuk mencari rezeki.
Calon PN daripada Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), D. Jeevakumar berkata, langkah menaik taraf ekonomi setempat itu amat penting memandangkan isu peluang pekerjaan yang terhad menjadi antara punca utama anak muda meninggalkan kawasan luar bandar berkenaan.
“Walaupun pasaran kerja sedia ada wujud di Paloh namun statusnya masih berada pada tahap kurang memuaskan untuk jangka masa panjang bagi golongan belia.
“Kita mahu naikkan sedikit ekonomi orang di sini khususnya melalui sektor perkilangan dan industri. Kita akan tambahkan lagi kilang di Paloh,” katanya ketika ditemui di Felda Kahang Barat di sini hari ini.

Katanya, tidak menjadi kesalahan jika anak muda mahu berhijrah tetapi kalau boleh jumlah itu dapat dikurangkan.
“Anak Paloh jugalah yang sebenarnya boleh memajukan Paloh. Jadi kita nak anak Paloh terus kekal tinggal di sini, bekerja di sini sama-sama merancakkan ekonomi setempat,” katanya.
Katanya, selain kilang, fokus utamanya jika diberikan mandat adalah untuk menyelesaikan masalah infrastruktur asas seperti sistem perparitan dan kualiti jalan raya.
“Saya nak pastikan penduduk luar bandar di Paloh ini dapat menikmati kemudahan yang setaraf dengan kawasan bandar. Jangan bandar sahaja yang okay tetapi di kawasan luar bandar seperti Paloh tidak dipedulikan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Jeevakumar turut berterima kasih kepada PN yang memberi kepercayan buat MIPP untuk pertama kali bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ke-16 ini.
“Kita memang baharu untuk pilihan raya di sini, tetapi sokongan daripada parti-parti komponen dan jentera PN amat baik, memuaskan dan hebat.
“Sokongan jentera pilihan raya kita semua bersatu hati dan tidak ada sebarang perbalahan. Setakat ini, maklum balas dan sokongan padu daripada pengundi serta orang-orang Paloh yang saya temui juga sangat baik,” ujarnya lagi.
Pada PRN Johor kali ini, DUN N30 Paloh menyaksikan pertembungan sengit melibatkan empat penjuru di mana Jeevakumar (PN-MIPP) yang akan mencabar penyandang kerusi, Lee Ting Han daripada Barisan Nasional (BN), Dr A. Ruban (PH-DAP) dan G Kamaleswaren (Bebas)
Pada PRN lalu, BN menang kerusi N30 Paloh dengan majoriiti 3,176.
Berdasarkan rekod daftar pemilih terkini Suruhanjaya Pilihan Raya, DUN Paloh mempunyai seramai 25,831 pengundi berdaftar. -MalaysiaGazette
















