Reaksi penyokong selepas bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli bersama bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan keluar daripada PKR dan menyertai Parti Bersama Malaysia pada majlis pengumuman hala tuju politik baharu di PJ Performing Arts Centre, One Utama. Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 Mei 2026. (Gambar fail).

KUALA LUMPUR – Keputusan parti Kancil pimpinan Datuk Seri Rafizi Ramli untuk bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berpotensi memecahkan undi penyokong Pakatan Harapan (PH) dan secara tidak langsung memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) serta Perikatan Nasional (PN).

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Profesor Madya Dr Mashitah Mohd Udin berkata, dalam sistem pilihan raya first-past-the-post, risiko perpecahan undi sememangnya tidak boleh dipandang ringan.

Menurutnya, jika sebahagian pengundi PH yang kecewa dengan Kerajaan Madani memilih untuk memberikan undi protes kepada Parti Bersama, ia boleh mengurangkan sokongan terhadap PH, sekali gus meningkatkan peluang BN dan PN terutama di kerusi-kerusi marginal.

“Dari sudut ini, kehadiran Bersama boleh meletakkan PH khususnya PKR dalam kedudukan lebih genting. Bersama juga tidak hanya menjual nama Rafizi sebaliknya mempertaruhkan calon daripada pelbagai latar belakang seperti doktor, peguam, arkitek, usahawan muda, profesional minyak dan gas, aktivis masyarakat serta anak muda Felda.

“Ia memberi mesej bahawa politik tidak semestinya dimonopoli elit parti semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr. Mashitah Mohd Udin

Mashitah berkata, parti itu turut cuba mengangkat standard integriti politik apabila semua 15 calonnya diminta mengisytiharkan harta, pendapatan, hutang dan perbelanjaan menerusi akuan bersumpah.

Katanya, calon-calon berkenaan juga dikehendaki menandatangani aku janji integriti termasuk komitmen untuk tidak melompat parti.

“Bersama turut mengetengahkan kutipan dana awam secara terbuka bagi membuktikan politik boleh digerakkan melalui sumbangan rakyat biasa dan bukan semata-mata bergantung kepada dana besar daripada kelompok berkepentingan,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan 15 kerusi yang ditandingi juga dilihat strategik kerana tertumpu di kawasan bandar, separa bandar dan koridor ekonomi Johor Selatan seperti Johor Bahru, Tebrau, Pasir Gudang, Iskandar Puteri dan Kulai.

Katanya, kawasan seperti Johor Jaya, Stulang, Perling, Skudai, Kota Iskandar, Bukit Batu dan Senai mempunyai pengundi bandar yang lebih peka terhadap isu kos sara hidup, perumahan, peluang pekerjaan, kesesakan lalu lintas, integriti dan prestasi wakil rakyat.

“Bersama tidak hanya mencabar PH malah turut memasuki kawasan yang mempunyai pengaruh BN dan PN, sekali gus mengelakkan persepsi bahawa parti itu hanya mahu melemahkan PH.

“Sebaliknya, Bersama cuba menampilkan dirinya sebagai alternatif kepada keseluruhan landskap politik lama,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui cabaran besar menanti parti baharu itu kerana kekangan daripada segi jentera, pengenalan logo dan kekuatan akar umbi.

“Persoalannya, adakah populariti Rafizi mampu diterjemahkan kepada undi calon tempatan? Adakah pengundi mengenali calon-calon Bersama dalam tempoh kempen yang singkat?

“Dan adakah pengisytiharan harta serta dana awam itu cukup kuat untuk menandingi jentera parti-parti lama?” soalnya.

Menurut beliau, kemunculan Bersama seharusnya menjadi amaran politik kepada PH dan sekiranya wujud penyokong yang mahu menzahirkan undi protes melalui parti itu, PH tidak boleh sekadar menyandarkan naratif ‘pecah undi’.

“PH perlu bertanya mengapa sebahagian penyokongnya kecewa dan undi protes itu perlu dipulihkan melalui prestasi, reformasi serta keyakinan terhadap kerajaan.

“Bagi BN dan PN pula, kehadiran Bersama mungkin membuka peluang taktikal sekiranya undi anti-BN atau anti-PN berpecah.

“Namun, mereka juga tidak boleh terlalu selesa kerana dalam pertandingan pelbagai penjuru, parti kecil boleh menjadi penentu besar. Bersama mungkin tidak menang, tetapi ia boleh menentukan siapa yang kalah,” katanya.

Beliau berkata, kemunculan Bersama dalam PRN Johor bukan sekadar berkisar mengenai isu pecah undi, sebaliknya menjadi ujian terhadap selera politik baharu rakyat.

“Dengan calon berwibawa, pengisytiharan harta, tapisan integriti dan dana awam terbuka, Bersama sedang mencabar standard politik parti-parti lama.

“Nilai sebenar Bersama bukan hanya pada jumlah kerusi yang dimenangi, tetapi tekanan politik yang diwujudkannya sehingga memaksa semua parti bercakap mengenai integriti, ketelusan, dana politik dan suara rakyat.

“Dalam politik Johor yang semakin kompetitif, Bersama menjadikan pertandingan lebih terbuka, lebih mencabar dan lebih sukar diramal,” katanya.

Semalam, Ahli Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Farzana Hayani mengingatkan akyat supaya tidak mudah terpedaya dengan naratif yang didakwa mengelirukan, khususnya yang dibawa Rafizi yang disifatkan gagal merealisasikan agenda reformasi ketika diberi tanggungjawab dalam pentadbiran kerajaan.

Rakyat katanya perlu menilai dakwaan yang dikemukakan Rafizi secara objektif kerana beliau sendiri pernah memegang jawatan kanan dalam Kerajaan Perpaduan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast