LISBON – Beberapa kawasan di Portugal termasuk wilayah Lisbon akan diletakkan di bawah amaran merah susulan gelombang haba baharu yang dijangka melanda negara itu, selepas sebelum ini relatif kurang terjejas berbanding negara lain di Eropah yang mencatat rekod suhu tertinggi.
Agensi meteorologi Portugal, Institut Laut dan Atmosfera Portugal (IPMA) memaklumkan, wilayah pesisir Lisbon dan Setubal akan berada di bawah amaran merah akibat suhu tinggi bermula Khamis.
Amaran itu akan diperluaskan ke kawasan Leiria dan Coimbra di utara negara itu pada Jumaat, dengan suhu dijangka mencecah sehingga 44 darjah Celsius di beberapa lokasi.
Pada hari Rabu, IPMA turut mengeluarkan amaran jingga bagi empat wilayah pedalaman termasuk Evora, yang diramalkan mencatat suhu sehingga 41 darjah Celsius.
“Biasanya suhu seperti ini berlaku pada Ogos, tetapi tahun ini ia datang lebih awal,” kata seorang pemuzik jalanan berusia 31 tahun, Jose Bonifacio, di sebuah dataran di pusat bandar Evora.
Lorong-lorong berbatu di bandar bersejarah itu kelihatan lengang pada waktu petang akibat cuaca panas, manakala pelancong memilih berlindung di kafe atau kawasan berbumbung yang lebih redup, sesetengahnya dilengkapi kipas.
“Keadaan pada waktu petang sangat mencabar, tetapi mereka yang bekerja tiada pilihan selain bertahan,” kata Carlos Guedes, 53, seorang pekerja binaan dari utara Portugal yang mengakui tidak biasa dengan cuaca sepanas itu.
IPMA memaklumkan, amaran jingga turut akan diperluaskan ke semua wilayah yang tidak berada di bawah amaran merah.
Menurut agensi itu, tempoh cuaca panas kali ini dijangka berlarutan sekurang-kurangnya seminggu.
“Sepanjang tempoh cuaca sangat panas ini, faktor paling ketara ialah tempohnya yang dijangka berlanjutan sekurang-kurangnya selama seminggu,” menurut kenyataan IPMA.
Agensi itu turut menjelaskan, kawasan pesisir dijangka mengalami cuaca lebih panas berikutan ketiadaan tiupan angin laut, manakala suhu pada waktu malam mungkin tidak turun di bawah 24 hingga 28 darjah Celsius selama beberapa malam berturut-turut.
Kerajaan Portugal menggesa orang ramai mematuhi nasihat pihak berkuasa kesihatan serta mengarahkan pihak berkuasa tempatan mengenal pasti premis yang boleh dijadikan pusat perlindungan kepada golongan rentan.
Premis tersebut termasuk bangunan awam, gereja serta premis swasta seperti pusat beli-belah dan hotel, kata Setiausaha Negara bagi Kesihatan, Ana Povo.
Sementara itu, kumpulan saintis World Weather Attribution (WWA) menyatakan gelombang haba yang melanda Eropah baru-baru ini merupakan antara yang paling ekstrem pernah direkodkan dan hampir mustahil berlaku pada Jun tanpa kesan perubahan iklim.
Beberapa negara termasuk Jerman, Poland, Republik Czech, Slovakia dan Hungary mencatat rekod suhu tertinggi sepanjang zaman, manakala United Kingdom dan Switzerland merekodkan suhu tertinggi bagi bulan Jun.
Perancis pula berdepan suhu purata yang memecahkan rekod, termasuk suhu waktu malam tertinggi pernah direkodkan di negara itu. – Agensi
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















