BATU PAHAT – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 disifatkan sebagai pilihan raya paling janggal dan mengelirukan dalam sejarah politik negara berikutan landskap kerjasama serta pertandingan antara parti yang bercanggah di peringkat negeri dan Persekutuan, kata Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, keadaan itu menyebabkan sebahagian pengundi keliru apabila Barisan Nasional (BN) bertanding menentang Pakatan Harapan (PH) di Johor walaupun kedua-dua gabungan bekerjasama membentuk Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, kekeliruan itu turut dipengaruhi dengan tindakan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) walaupun hubungan kerjasama antara kedua-dua parti telah berubah, selain kemunculan Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang diterajui bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli.
“Saya rasa tidak ada satu pilihan raya yang paling pelik dan paling mengelirukan dalam sejarah politik kita melainkan PRN Johor ini. Sesetengah orang berpandangan ia agak mengelirukan.
“Tetapi, kekeliruan ini saya yakin akan dapat diselesaikan dan diatasi oleh PH dan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Johor ke Depan, Undi Harapan di Lot Kereta Medan Selera Senggarang, di sini, malam ini.
Hadir sama pada program itu Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amiruddin Shaari dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Mujahid berkata, PH tetap berpegang kepada prinsip memperjuangkan hak semua kaum, bangsa dan agama berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.
“Kita memperjuangkan bahawa hak orang Cina, Melayu, Islam, bukan Islam dan India, semuanya diperjuangkan di atas prinsip undang-undang serta hak yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.
Beliau turut mendakwa, pihak lawan terus memainkan sentimen kaum dan agama dengan menjadikan DAP sebagai sasaran serangan politik bagi mewujudkan kebencian antara masyarakat, khususnya orang Melayu dan Cina.
“Mainan yang dikelirukan lagi dengan realiti politik di hadapan kita adalah apa? Mereka menggunakan isu kaum dan agama, kita lihat bagaimana mereka menyerang dengan mengatakan ‘DAP jahat’.
“Kata apa pun DAP tetap wujud sebagai sebuah entiti politik yang sah berdaftar, mempunyai kerajaan negeri di Pulau Pinang dan jumlah ahli Parlimen yang signifikan. Apa sahaja kita kata, sebenarnya dari sudut undang-undang tiada isu pun,” katanya.
Beliau menambah, sentimen sedemikian sengaja dimainkan bagi memecah-belahkan perpaduan rakyat supaya kita membenci antara satu sama lain, mereka jadikan DAP sebagai ‘punching bag’.
“Bahkan apabila dakwaan mereka dibawa ke mahkamah, akhirnya yang menang adalah dituduh, bukan penuduh,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















