GEORGE TOWN – Pulau Pinang wajar menerima pulangan hasil yang lebih adil susulan pengiktirafan Perdana Menteri bahawa negeri itu merupakan antara penyumbang hasil cukai kepada Kerajaan Persekutuan melebihi jumlah perbelanjaan pembangunan yang diterima.
Kon Yeow berkata, pengiktirafan itu mengesahkan hakikat bahawa Pulau Pinang memainkan peranan penting sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara dan penyumbang bersih kepada hasil Persekutuan secara keseluruhan.
Katanya, kenyataan Perdana Menteri itu turut mengesahkan perkara yang dibangkitkannya berkali-kali dalam pelbagai mesyuarat di peringkat nasional dan Dewan Rakyat sebelum ini.
“Apa yang diperjuangkan oleh kerajaan negeri bukanlah untuk mendapatkan layanan istimewa tetapi bagi memastikan pulangan hasil dibuat secara adil, berasaskan sumbangan sebenar negeri kepada pembangunan negara.
“Sebagai sebuah negeri yang menjadi nadi kepada sektor pembuatan, perdagangan, teknologi dan inovasi negara, Pulau Pinang memerlukan pelaburan berterusan bagi memastikan penyediaan infrastruktur strategik dipertingkatkan sekali gus mengekalkan daya saing Malaysia pada peringkat global.
“Saya amat menghargai pengiktirafan Perdana Menteri terhadap sumbangan Pulau Pinang serta komitmen Kerajaan Persekutuan sejak tahun 2023 dalam melulus dan membiayai pelbagai projek infrastruktur utama di negeri ini termasuk LRT Laluan Mutiara, pembesaran LTAPP, Projek Penyuraian Trafik Juru-Sungai Dua, projek tebatan banjir serta pelbagai inisiatif pembangunan strategik lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menghargai tindakan Perdana Menteri mendedahkan angka berkaitan kutipan hasil dan agihan perbelanjaan Persekutuan secara terbuka di Parlimen yang mencerminkan komitmen Kerajaan Madani terhadap prinsip ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik.
Jelasnya, Pulau Pinang akan terus memainkan peranannya sebagai antara enjin pertumbuhan ekonomi negara apabila merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM63.96 bilion pada 2025 selain mengekalkan kedudukan sebagai negeri pengeksport utama Malaysia dengan nilai eksport RM573.91 bilion atau 35.7 peratus daripada keseluruhan eksport negara.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa setiap pelaburan yang disalurkan kepada Pulau Pinang bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi negeri, malah memberi pulangan besar kepada ekonomi negara melalui peningkatan eksport, peluang pekerjaan berkualiti, pemindahan teknologi dan hasil cukai kepada Kerajaan Persekutuan.
“Pada masa sama, saya berharap Kerajaan Persekutuan dapat memberi keutamaan kepada usaha bersama dalam merealisasikan aspirasi Pusat Kewangan Antarabangsa Pulau Pinang (PIFC). Penubuhan PIFC akan melengkapkan lagi kekuatan Pulau Pinang sebagai hab pembuatan berteknologi tinggi melalui pembangunan sektor kewangan dan perkhidmatan bernilai tinggi.
“Kerajaan Negeri akan terus mengamalkan pendekatan yang konstruktif serta memperkukuh kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan demi memastikan Pulau Pinang terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara. Aspirasi kami bukanlah untuk menuntut layanan istimewa, tetapi memastikan agihan serta pulangan hasil pembangunan dibuat secara adil, strategik dan berasaskan sumbangan serta keperluan sebenar,” katanya. – MalaysiaGazette















