Mangsa maut terlanggar tayar (gambar bawah) sebuah lori yang dipercayai tercicir di Kilometer 140.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Seorang anggota polis maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar tayar yang dipercayai tercicir daripada sebuah lori di Kilometer 140.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.55 pagi itu, mangsa, Norshairul Subkri Salim, 40, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.

Selain mangsa, tiga individu yang terdiri daripada pemandu serta dua penumpang sebuah kereta turut cedera dalam kejadian sama.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan membabitkan sebuah kereta dan motosikal itu kira-kira jam 6 pagi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dalam perjalanan dari Juru menghala ke Seberang Jaya dipercayai melanggar tayar yang berada di tengah jalan dan disyaki tercicir daripada sebuah lori yang masih belum dikenal pasti.

“Akibat pelanggaran itu, kereta berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan.

“Manakala sebuah motosikal yang datang dari arah sama kemudian turut melanggar tayar berkenaan, menyebabkan penunggangnya terjatuh dan terseret di atas permukaan jalan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Norshairul Subkri Salim selamat dikebumikan di kampung halamanya di Perlis petang tadi.

Menurut beliau, impak kejadian itu menyebabkan penunggang motosikal yang juga seorang anggota polis bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

“Bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) mengesahkan punca kematian mangsa adalah ecederaan kepala akibat kemalangan jalan raya.

“Manakala pemandu serta dua penumpang kereta mengalami kecederaan dan dihantar ke HSJ untuk rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis sedang mengesan pemilik tayar lori yang dipercayai menjadi punca kemalangan,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian atau rakaman kamera papan pemuka (dashcam) diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nor Aliza Fatim Ismail di talian 017 404 6215 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Difahamkan, jenazah mangsa telah dibawa pulang ke kampung halamannya dan selamat disemadikan di Kampung Bukit Chabang, Padang Besar, Perlis petang tadi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast