KUALA LUMPUR – Tiada sebarang kes penipuan haji direkodkan sepanjang musim haji tahun 1447H/2026, hasil pemantaun bersepadu yang dilaksanakan pihak berkuasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, kejayaan itu dicapai menerusi hasil pemantauan menyeluruh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), selain tindakan pengawasan terhadap iklan serta tawaran di platform media sosial.
“Alhamdulillah, dengan kerjasama bersepadu dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak-pihak berkuasa lain, buktinya tiada kes penipuan termasuk kes penipuan badal haji yang kita terima.
“Kita bersyukur, zero (sifar) kes scammer pada tahun ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyambut kumpulan terakhir jemaah haji musim 1447H/2026 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Jelasnya, pencapaian itu membuktikan keberkesanan usaha penguatkuasaan, pemantauan dan kempen kesedaran yang dijalankan secara berterusan bagi melindungi orang ramai daripada menjadi mangsa penipuan.
Seramai 258 jemaah haji daripada kumpulan penerbangan terakhir selamat tiba di KLIA pada jam 12.20 tengah hari tadi, sekali gus menandakan berakhirnya operasi menunaikan haji Malaysia musim 1447H/2026.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli serta Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad.
Musim haji 1447H/2026M menyaksikan seramai 31,600 jemaah haji Malaysia menunaikan ibadah itu, memenuhi keseluruhan kuota rasmi yang diperuntukkan oleh kerajaan Arab Saudi.
Musim haji bermula pada 29 April 2026 dengan pelepasan kumpulan pertama jemaah ke Tanah Suci.
Manakala kumpulan pertama jemaah haji yang kembali ke tanah air bermula pada 4 Jun lalu. – MalaysiaGazette
















